My Add

Thursday 13 September 2012

Penyumbang koleksi muzium diberi pelepasan cukai

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September, 2012: Penyumbang koleksi warisan kepada muzium akan mendapat pelepasan cukai berdasarkan nilai sumbangan barangan yang akan ditaksir Jabatan Muzium Malaysia (JMM), kata pengarahnya, Datuk Ibrahim Ismail.

Beliau berkata, barangan koleksi seperti batik, songket dan artifak akan dibuat taksiran terlebih dulu bagi menentukan nilai sebenarnya bagi tujuan pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Melalui penilaian itu, penyumbang akan diberikan sijil untuk mereka kemukakan kepada LDHN bagi tujuan pengesahan pengecualian cukai," katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Penyerahan Koleksi Sampel Batik Ela dan Pakaian Batik dari Era 1960-an hingga 1990-an, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan itu adalah untuk koleksi pameran di Muzium Tekstil Negara sekali gus menjadikan muzium itu sebagai rujukan pembelajaran kepada orang ramai mendapatkan sumber maklumat dan pengetahuan mengenai batik ela secara berpusat.

Penyerahan sebanyak 1,445 koleksi batik itu dipilih daripada arkib empat pengumpul persendirian dari Kuala Lumpur dan Kota Bharu, Kelantan.

Ibrahim berkata, pihak korporat juga boleh memberi sumbangan kepada pembangunan muzium di negara ini dalam bentuk membeli koleksi dan kemudian menyumbangkannya kepada muzium.

Melalui pelaburan itu, mereka akan disenaraikan untuk dibuat taksiran jumlah amaun harga sumbangan mereka untuk diberikan pengecualian cukai.

"Ini adalah satu insentif kerajaan bagi menggalakkan budaya sayangkan khazanah negara dan sekali gus menambahkan koleksi muzium untuk tontonan pelancong dalam dan luar negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment