My Add

Monday 3 September 2012

Pijak gambar PM, hina bendera: KPT serah kepada polis

PUTRAJAYA, ISNIN, 03 September, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden memijak gambar pemimpin negara dan menukar Jalur Gemilang semasa sambutan ambang ulang tahun Hari Kemerdekaan pada malam Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam hal tersebut semua individu tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah tidak kira dia pelajar atau tidak.

"Kita kena tunggu dahulu keputusan daripada pihak berkuasa, lagi pun kita tidak tahu sama ada dia pelajar atau tidak, itu hanya andaian.

"Dalam soal ini, ia tidak wajar dilakukan dan kita berharap memang pihak polis akan menyiasat serta kenakan apa-apa tindakan yang sesuai," katanya.

Beliau diminta mengulas insiden pada malam 30 Ogos lalu itu pada sidang akhbar pengumuman naik taraf Kolej Universiti SEGi kepada Universiti SEGi di sini hari ini.

Insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta tindakan menghina Jalur Gemilang di Dataran Merdeka itu turut dikaitkan dengan pelajar institut pengajian tinggi (IPT). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment