My Add

Friday 14 September 2012

PM umum 7 projek RM5.6 bilion

*NAJIB Tun Razak bersama pemilik Projek Permulaan selepas mengumumkan pelaburan penting dalam Program Transformasi Ekonomi di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, KHAMIS, 13 September, 2012: Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerima momentum baru apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tujuh projek membabitkan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM5.607 bilion.

Pelaburan terbesar diumumkan Perdana Menteri itu adalah pelaburan RM4.08 bilion dalam bidang minyak dan gas untuk membangunkan projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Pengerang.

Najib berkata, tujuh projek pelbagai bidang yang diumumkan hari ini dijangka menjana pendapatan negara kasar (GNI) bernilai RM2.361 bilion serta mewujudkan 18,522 peluang pekerjaan baru.

“Dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kesihatan, Ranbaxy Laboratories Limited iaitu syarikat farmaseutikal terbesar India melalui usaha sama dengan syarikat tempatan akan melabur RM125 juta untuk membangunkan pelan pengeluaran kedua di Malaysia.

“Projek ini dijangka bermula pada September 2012 dan apabila disiapkan, pengeluaran ubat generik di Malaysia akan meningkat tiga kali ganda daripada 1 bilion unit kepada 3 bilion unit," katanya di sini.

Turut hadir pada majlis pengumuman projek terbaru ETP itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Perdana Menteri berkata, satu lagi pelaburan dalam bidang kesihatan adalah projek Medical Devices Corporation dengan jumlah sebanyak RM88.55 juta untuk mendirikan hab pengeluaran pelbagai alat dan produk perubatan.

“Projek ini akan melibatkan pemindahan teknologi daripada rakan-rakan kongsi antarabangsa, menambah baik kemahiran pekerja tempatan serta mengurang kebergantungan import peralatan perubatan," katanya.

Mengulas lanjut kata Najib, projek Terminal LNG Pengerang apabila dilaksanakan akan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan LNG Asia.

“Ia merupakan terminal perdagangan LNG bebas pertama di Asia dan membenarkan pelbagai pengguna LNG untuk menyimpan dan berdagang produk ini, ia akan membantu meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan LNG Asia," katanya.

Dalam bidang NKEA perkhidmatan perniagaan pula, Najib mengumumkan 1Progres Consortium merancang untuk melabur RM947.13 juta dalam pemulihan bahan buangan menggunakan sistem Wongpanit dari Thailand yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dalam bidang NKEA kelapa sawit dan getah pula, United Plantations Berhad dan Oleon Sdn. Bhd. akan melabur RM96.33 juta untuk membangunkan kemudahan pengeluaran di Hab Halal Selangor.

“Malaysia juga akan melabur RM4.7 juta untuk melakukan kajian klinikal mengenai penggunaan tocotrienols dalam kelapa sawit. Kajian yang dikendalikan pakar antarabangsa ini mahu mengkaji tocotrienols dalam pelbagai keadaan perubatan seperti pencegahan strok dan kanser," katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam bidang NKEA elektrik dan elektronik, National Instruments akan melabur RM270 juta untuk mendirikan dua akademi berupa kemudahan makmal iaitu National Instruments Academy dan Innovation Nucleus

Dalam pada itu, ujar Najib, rakyat perlu membendung sikap berpuas hati tetapi mesti terus meningkatkan daya saing Malaysia berbanding negara-negara lain.

“Kalau mereka (negara lain) berjalan, maka kita kena berlari; kalau mereka berlari, maka kita kena pecut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment