KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September, 2012: Transformasi pendidikan yang dilancarkan oleh kerajaan kelmarin mendapat maklum balas positif daripada ahli akademik.
Menurut mereka, langkah itu merupakan penambahbaikan terhadap pelan pembangunan pendidikan sedia ada.
Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, transformasi pendidikan itu dilihat boleh melonjak tahap dan mutu pendidikan rakyat negara ini dalam mempersiapkan negara ke arah negara maju.
Ini kerana menurutnya, pendidikan merupakan penyumbang utama terhadap pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara malah ia menjadi penentu atau pengukur kemajuan sesebuah negara.
"Saya lihat transformasi pendidikan ini berada di atas landasan yang betul, lebih-lebih lagi apabila negara kita sedang menuju ke arah untuk mencapai Wawasan 2020," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.
Sementara itu, bagi Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Amir Baharuddin, transformasi yang dilakukan oleh kerajaan kepada pelan pembangunan pendidikan sebelum ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut.
Menurut beliau, transformasi itu berlaku seiring perubahan zaman iaitu cabaran yang dihadapi generasi kini lebih besar ekoran perkembangan teknologi dan maklumat yang begitu pesat.
Dalam pada itu, bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM),Datuk Azam Md. Atan pula berkata, usaha kerajaan dalam menambah baik pelan pembangunan pendidikan tidak boleh dianggap sebagai satu eksperimen.
"Saya nampak kesungguhan kerajaan untuk memperbaiki sistem lama. Saya berharap apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan bersungguh-sungguh," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment