My Add

Monday 10 September 2012

Polis selesai siasatan pijak gambar pemimpin, bawa bendera

  Ismail Omar
IPOH, AHAD, 09 September, 2012:Polis selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian memijak gambar pemimpin negara serta membawa bendera 'Sang Saka Malaya' semasa Himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang merdeka dan akan mengemukakan laporan itu kepada pejabat Peguam Negara esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata laporan itu diserahkan supaya keputusan selanjutnya dapat diambil oleh pihak Peguam Negara walaupun terdapat beberapa individu yang masih belum menyerah diri atau ditahan untuk direkodkan keterangannya.

"Kedua-dua kes tersebut telah selesai...buat sementara kita akan hantar dulu hasil siasatan kepada Peguam Negara dan tengok apa kata mereka," katanya kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Bola Sepak kategori terbuka dan veteran sembilan sebelah Piala Ketua Polis Negara 2012 di Markas Briged Utara Polis Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Katanya beliau percaya Jabatan Siasatan Jenayah telah menjalankan siasatan mereka dengan sempurna dan perlu mengikut proses kerja iaitu mengemukakan hasil siasatan supaya keputusan boleh dibuat oleh pihak Peguam Negara.

Beliau berkata polis akan terus memanggil mereka yang masih belum menyerah diri untuk tampil berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

"Mereka yang terlibat, yang belum serah diri kita akan terus panggil untuk mereka menyerah diri supaya keterangan dapat diambil," katanya.

Pada 7 Sept lepas, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Aziz Zakaria berkata polis masih memburu lima lagi suspek selepas enam individu yang dikehendaki polis menyerah diri.

Dua lagi individu masing-masing berusia 24 tahun yang dikehendaki polis turut menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 2.30 petang hari berkenaan.

Aziz berkata kedua-dua lelaki tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan polis akan menyiasat tindakan susulan sewajarnya yang akan dikenakan berdasarkan hasil siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment