My Add

Thursday 13 September 2012

Serang rumah pegawai kastam: Lelaki ditahan

JOHOR BAHARU, KHAMIS, 13 September, 2012: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dua kejadian serangan terhadap pegawai kastam dengan menggunakan bom molotov di Taman Pelangi dan Taman Seri Pulai Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi ini di sekitar kawasan Gelang Patah, dekat sini.

Beliau berkata polis menerima beberapa laporan mengenai kewujudan pihak yang cuba mengganggu-gugat tugas anggota kastam, termasuk dua kejadian terbaru semalam.

"Lanjutan dari itu, polis mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari hari ini untuk membincangkan masalah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pos Polis Komuniti Taman Mutiara Rini, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya menubuhkan sebuah pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Dr Hashim Haron dan turut dianggotai beberapa pegawai kanan kastam untuk mengumpul maklumat serta risikan supaya pihak yang mengganggu tugas pihak berkuasa terutamanya tonto dapat diberkas.

Dalam kejadian di Jalan Biru, Taman Pelangi semalam, bahagian hadapan rumah dua pegawai kastam dan sebuah kereta milik seorang daripada mereka terbakar apabila dilempar bom molotov.

Kejadian turut menyebabkan seorang daripada mereka iaitu Timbalan Pengarah Kastam Johor Ahmad Hassan, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika hendak menyelamatkan keretanya daripada terbakar apabila menyedari kereta Proton Savvy rakannya itu terbakar.

Kejadian serupa turut dilaporkan berlaku ke atas rumah seorang lagi pegawai kastam di Taman Pulai Perdana, kira-kira pukul 4 pagi semalam, yang dipercayai didalangi sekumpulan lelaki menaiki kereta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment