My Add

Wednesday 12 September 2012

Status barang jemaah haji boleh disemak secara online

KUALA LUMPUR, RABU, 12 September, 2012: Jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Bhd bagi penghantaran barang dari Makkah dan Madinah boleh memeriksa status terkini perjalanan barang mereka secara dalam talian (online).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia, Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, sistem jejak dan kesan Malaysia itu, pertama kali digunakan dan ia akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"Jemaah haji akan diberi nombor rujukan dan mereka boleh memeriksa lokasi terkini penghantaran barang mereka menerusi laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my," katanya selepas menyampaikan taklimat perkhidmatan bagasi haji Pos Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada had bagi jumlah penghantaran barang tetapi setiap barang perlu mematuhi berat maksimum yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 30 kilogram.

Caj penghantaran barang jemaah haji ke Semenanjung Malaysia ialah RM14 sekilogram dan RM19 ke Sabah dan Sarawak.

Air zam zam pula dikenakan caj RM115 bagi botol seberat 10 liter ke Semenanjung dan RM135 ke Sabah dan Sarawak.

Mohd Shukrie berkata, jemaah haji boleh membuat pembayaran secara tunai di kaunter Pos Malaysia di Makkah dan Madinah atau pembayaran ketika menerima barang di tanah air selain bayaran melalui potongan akaun Tabung Haji.

"Semua barang dijamin akan dihantar ke destinasi masing-masing dalam tempoh 3-14 hari bekerja selepas tarikh ketibaan barang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

"Jemaah haji boleh membeli insurans barang sehingga nilai maksimum perlindungan RM4,500 bagi setiap konsainan pada kadar premium seminimum 6 Riyal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pos Malaysia menggerakkan 30 petugasnya di Makkah dan Madinah bagi menguruskan proses kiriman barang jemaah haji pada musim ini.

Katanya, Pos Malaysia juga dijangka akan mengendali kira-kira 200 tan barang jemaah haji termasuk bagasi, bungkusan dan air zam zam musim ini berbanding 150 tan tahun lalu.

Maklumat lanjut mengenai pengendalian barang jemaah boleh didapati di talian PosLine 1-300-300-300 atau menerusi e-mel di PosLaju.PBH@pos.com.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment