My Add

Wednesday 12 September 2012

Tindakan agresif Generasi Y kerana teladan buruk

KUALA LUMPUR, RABU, 12 September, 2012: Terpengaruh dengan sikap anti-kerajaan dan teladan buruk yang dipamer pihak tertentu adalah antara faktor yang mendorong ‘Generasi Y’ bertindak agresif ketika meluahkan rasa hati, kata seorang kaunselor.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata selain itu, golongan itu juga terdorong untuk bertindak agresif apabila ingin menunjuk-nunjuk ketika berada dalam kelompok ramai.

"Menjadi sifat manusia sukakan pertandingan. Jika awak luahkan perasaan dengan bercakap, saya akan luahkan perasaan dengan menjerit, jika awak menjerit, saya akan baling botol, jika awak baling botol, saya akan baling batu... begitulah contohnya.

"...ia lebih kepada untuk menunjuk tindakan siapa yang lebih berkesan dan memberi impak," katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ketika dihubungi BERNAMA.

Merujuk kelakuan biadab segelintir individu ketika perhimpunan di ibu kota pada malam ambang Hari Kemerdekaan, Mohamed Fadzil berkata, hanya manusia dengan konsep kendiri yang rendah mempunyai kecenderungan bertindak agresif dan melulu.

"Bila dia mempunyai ketegasan dan konsep kendiri, dia akan mampu mengelakkan dirinya daripada bertindak agresif. Ya, ini (bertindak agresif) adalah satu penyakit dan ia berbahaya jika tidak dibendung dari awal," katanya.

Beliau berkata, membendung kecenderungan seumpamanya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan ibu bapa.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan mengawasi segala tindak-tanduk anak mereka kerana dikhuatiri anak mereka memiliki kecenderungan untuk bertindak agresif dengan cara mereka sendiri tanpa memahami bahawa tindakan itu mengganggu hak orang lain," katanya.

Beliau berkata, ketegasan dan konsep kendiri adalah elemen penting yang perlu ada pada seseorang dan sikap itu berkait rapat dengan identiti diri, kepuasan, tingkah laku, fizikal, moral dan etika, peribadi, keluarga dan juga sosial.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata, kurangnya bimbingan keluarga dan pendidikan agama juga menyebabkan golongan muda lemah konsep kendiri, apatah lagi asyik menghabiskan masa melayari Internet dan media sosial.

Persoalannya adakah mereka yang terbabit dalam insiden ini kekurangan didikan agama sehingga sanggup melakukan perbuatan yang memalukan dan bercanggah dengan Islam?

Pengerusi Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata Islam melarang umatnya melakukan perbuatan menghina mana-mana orang apatah lagi pemimpin.

"Ini (menunjukkan punggung) adalah satu perbuatan yang biadab, tiada akhlak dan haram. Kita sedia maklum, punggung itu adalah aurat. Saya hairan, orang yang melakukan (perbuatan) ini adalah orang Islam, adakah dia tidak tahu mengenai batas-batas agama?

"Pada saya perkara ini terjadi kerana kegagalan mengawal diri dan mengikut emosi," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Dari segi harga diri, apakah individu terbabit tidak terfikir mengenai maruah dirinya dan keluarga? Timbul juga pertanyaan apakah tindakan itu bertujuan mendapatkan perhatian?

Menjawab persoalan itu, seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ann, 40, berpendapat pergaulan bebas, kurang perhatian ibu bapa dan didikan agama menyumbang kepada faktor seseorang bertindak di luar batasan.

"Memang tidak dinafikan, tindakan agresif seperti itu sehingga berani menunjukkan punggung adalah satu perkara yang memalukan dan mencemarkan maruah keluarga. Apalah untungnya berbuat semua ini? Salah ibu bapa juga kalau terlalu terbuka dan tidak ambil kisah mengenai perihal anak," katanya.

Untuk mengelakkan anak-anak berkelakuan sedemikian rupa, Kak Ann berkata, ibu bapa mesti peka dengan setiap perubahan anak-anak seperti enggan menyertai aktiviti bersama atau berkongsi masalah serta berkomunikasi selain suka menyendiri.

"Sebagai ibu bapa, perlu dipantau segala aktiviti anak-anak, kena selalu beri nasihat, tunjukkan contoh yang baik, buat macam kawan dan sentiasa meluangkan masa berkomunikasi dengan anak," katanya.

Kak Ann turut melahirkan kegusaran melihat trend remaja hari ini yang begitu agresif dan tiada lagi sifat silu apabila tergamak bertindak melampaui batas tata susila. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment