My Add

Wednesday 12 September 2012

Warga AS peringati serangan 11 September


*CAHAYA lampu dipancarkan di sebelah arca Statue of Liberty (tengah) dan One World Trade Center (kiri) bagi memperingati tragedi 11 September 2001 di New York, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS

NEW YORK, SELASA, 11 September, 2012: Warga Amerika Syarikat (AS), hari ini memperingati ulang tahun ke-11 serangan 11 September 2001 yang meragut 2,983 nyawa secara sederhana, sebagai tanda kesedihan yang tidak dilupakan.

Acara utama diadakan dengan membaca nama kesemua mangsa yang terkorban di Ground Zero, tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang runtuh dalam serangan itu.

Orang ramai yang hadir diminta bertafakur sebanyak tiga kali termasuk ketika memperingati saat empat pesawat yang dirampas kumpulan al-Qaeda merempuh WTC, Pentagon dan sebuah padang di Pennsylvania.

Bagaimanapun, Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg dan beberapa ahli politik lain tidak menyertai upacara penghormatan kali ini, berbeza dengan tahun lepas apabila Presiden Barack Obama mengetuai perhimpunan tersebut.

Obama dan isterinya dilaporkan memperingati tragedi tersebut di luar White House sebelum melawat memorial Pentagon.

Timbalan Presiden, Joe Biden pula melawat Shanksville, Pennsylvania yang menyaksikan tapak pesawat yang membawa 93 penumpang terhempas selepas dirampas pengganas dalam tragedi tersebut.

Minggu lalu, Obama dalam wawancaranya di sebuah stesen radio berkata, AS kini lebih kuat, selamat dan dihormati sejak tragedi 11 September 2001.

Di sebalik kesedihan warga AS ketika memperingati tragedi tersebut, kempen pemilihan Presiden tetap diteruskan.

Bekas Presiden Bill Clinton bakal berucap dalam kempennya mencabar calon Presiden Republikan, Mitt Romney pada satu majlis di Miami hari ini. - AFP

No comments:

Post a Comment