My Add

Wednesday 9 May 2012

30 peratus ekuiti bumiputera

Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, SELASA, 08 Mei, 2012: Pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera yang disasarkan menjelang 2020 mampu dicapai dengan tiga faktor utama termasuk eksport ke China dan India walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pasaran eksport yang kian berkembang di kedua-dua negara itu diperkukuhkan dengan dasar dan program transformasi ekonomi dilaksanakan kerajaan yang turut mampu memberi kelebihan dan menyumbang ke arah pencapaian itu.

Ini termasuk meletakkan kaum bumiputera dan negara ini mencapai status negara maju.

Menurutnya, pertumbuhan golongan pertengahan di China dan India masih berkembang baik, sekali gus membolehkan permintaan produk negara terus meningkat selain menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan terpilih.

"Sebagai contoh, ada orang pernah membuat perkiraan sekiranya setiap rakyat China menggunakan satu sudu penuh minyak kelapa sawit sehari, Malaysia tidak perlu buat apa kerana negara boleh kaya.

"Selain itu, kerajaan juga melaksanakan banyak dasar, antaranya kita tidak terlalu bergantung kepada aktiviti eksport tetapi lebih tertumpu kepada permintaan domestik," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kerjasama Pembangunan Usahawan Korporat Bumiputera antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Johor Corporation (JCorp) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Program itu merupakan susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai ketiga-tiga pihak sebelum ini bertujuan membangunkan usahawan bumiputera dalam ekonomi bagi meningkatkan keupayaan, mempercepatkan pertumbuhan serta daya saing mereka dalam pasaran lebih luas.

Nor Mohamed berkata, kerajaan juga menyediakan program transformasi dan sekiranya keadaan ekonomi masih tidak berapa baik, masih ada beberapa projek yang dilaksanakan mampu melonjak dan menjana ekonomi negara.

Ditanya mengapa perlu memberi tumpuan kepada permintaan domestik sedangkan penduduk negara tidak seramai China dan India, beliau berkata, kerajaan masih memberi tumpuan kepada aktiviti eksport, namun permintaan domestik perlu dijadikan usaha baru.

"Kerajaan juga sedang berusaha memastikan lebih banyak syarikat bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia dan pada masa sama turut memberikan bantuan kepada syarikat memerlukan menerusi Skim Jejak Jaya bumiputera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment