My Add

Friday 4 May 2012

5 syarikat pelaburan, 17 GLC berprestasi tinggi

*NAJIB menerima Kad Laporan Pencapaian Prestasi GLC daripada Ahmad Sarji Abdul Hamid sambil diperhatikan Awang Adek Hussin (kanan), Samsudin Osman (kiri), Laksamana (B) Mohd. Anwar Mohd. Nor (belakang, kiri), Mohd. Sidek Hassan dan Azman Mokhtar pada Pelancaran Laporan Pencapaian Prestasi GLC di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 Mei, 2012:Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan prestasi memberansangkan lima syarikat pelaburan dan 17 syarikat milik kerajaan (GLC) sejak program transformasi GLC dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, syarikat dikenali sebagai kumpulan G20 itu mencatat kemajuan ketara termasuk dari aspek prestasi kewangan masing-masing sejak 2004.

''Nilai dari segi keuntungan GLC melebihi syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa dan nilai keseluruhannya 17 GLC ini merupakan hampir satu pertiga nilai Bursa Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Mengenai Prestasi Tinggi GLC (PCG) dan melancarkan Laporan Prestasi GLC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Laksamana (B), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Holdings Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Menurut Najib, jumlah pulangan pemegang saham G20 meningkat 14.5 peratus setiap tahun sejak Mei 2004 sehingga April tahun ini dan dalam tempoh sama, permodalan pasaran G20 meningkat RM96 bilion atau 140 peratus.

Beliau berkata, sejumlah RM62 bilion dividen telah dibayar kepada pelabur dan RM40 bilion cukai pendapatan di bayar oleh GLC sejak tarikh tersebut.

''Kejayaan program transformasi GLC bukan sahaja penting untuk menjayakan agenda transformasi nasional, malah membawa manfaat kepada semua pihak termasuk rakyat dan kakitangannya," katanya.

Selain mahu GLC menguatkuasakan gaji minimum RM900 mulai bulan ini, Perdana Menteri turut mengingatkan GLC supaya melaksanakan dasar umur persaraan 60 tahun sebagaimana sektor awam.

Beliau turut menyentuh mengenai mobiliti sosial dalam GLC sebagai satu usaha secara sistematik untuk memberi peluang kepada pekerja menambah kelulusan dan kemahiran.

''Untuk generasi kedua anak-anak yang bapa mereka seorang mekanik atau pemandu, tetapi anak-anak mereka boleh jadi jurutera, akauntan atau ketua pegawai eksekutif GLC berkenaan.

''Tetapi mesti ada satu program tersusun dan struktur mobiliti sosial ini, keputusan mesyuarat tadi kita akan memberi banyak peluang dan menjaga kebajikan bukan sahaja pekerja sekarang tetapi juga anak-anak mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment