My Add

Tuesday 8 May 2012

Aliran keluar RM1 bilion mungkin salah anggar

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Jumlah aliran wang keluar secara haram sebanyak RM1 bilion seperti dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) berkemungkinan terlebih anggaran.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, perkara itu disebabkan oleh dua faktor yang menyebabkan laporan tersebut melakukan kesilapan dalam membuat anggaran.

“Pertama, anggaran tersebut tidak mengambil kira pelaburan portfolio serta pelaburan lain yang merupakan komponen aliran kewangan yang penting bagi statistik Balance Of Payment (BOP) negara pada dekad terkini.

“Keduanya, ia mungkin disebabkan oleh ralat sistematik dalam penyusunan data oleh Malaysia dan rakan dagangan negara serta ada kemungkinan jumlah ralat tersebut adalah besar kerana pendedahan perdagangan berikutan Malaysia sebuah ekonomi terbuka," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan sejauh mana kebenaran dan kesahihan dakwaan GFI yang menyatakan sebanyak RM1 bilion lesap dari negara ini kerana rasuah dari tahun 2000 hingga 2009.

Tegas Siang Chai, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengurangkan serta mencegah aliran dana keluar secara haram.

“Langkah-langkah yang telah dilaksanakan ialah menguatkuasakan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

“Malah bukan itu sahaja, kita juga menjalin kerjasama dengan agensi luar untuk tujuan perkongsian hasil risikan serta bukti bagi transaksi merentas sempadan yang turut telah ditingkatkan," jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menjawab soalan tambahan Ezam yang mahu mengetahui sekiranya wujud kemungkinan salah anggaran yang jauh dari realiti merupakan satu bentuk sabotaj kepada ekonomi negara oleh pihak yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kerajaan memandang serius kesalahan tersebut yang dibuat oleh sebuah institusi asing dan Bank Negara juga telah menyiasat perkara itu.

“Kita memang anggap ini sebagai sabotaj kepada ekonomi negara oleh pihak tidak bertanggungjawab dan perkara ini akan disiasat secara menyeluruh," tegasnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment