My Add

Saturday 5 May 2012

Bina negara ini bersama dalam semangat 1Malaysia: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya membina negara ini bersama-sama dalam semangat 1Malaysia dan nilai-nilai baik serta menangkis semua cubaan untuk memusnahkan negara ini. 

"Adalah penting untuk kita membina negara ini, misalnya untuk membina sebuah rumah, ia perlu dibina setingkat demi setingkat, lakukan permulihan dan belajar daripada kesilapan, kita perlu memandang ke depan, berdamai...itulah konsep yang perlu diberi peringatan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Berucap di depan penganut agama Buddha di Kuil Buddha Maha Vihara di Brickfields di sini sempena sambutan Hari Wesak, hari ini, Najib menegaskan akan pentingnya untuk rakyat, bukan saja mengamalkan sikap saling bertoleransi tetapi "berhijrah ke tahap penerimaan sepenuhnya" dan menghormati perbezaan masing-masing.

Katanya, apa juga anutan agama seseorang itu, adalah penting untuk mencari kebaikan agama itu seperti sikap positif dan ajaran baik yang dapat membentuk nilai baik untuk negara. 

"Apabila kita bercakap mengenai nilai baik, ia perlu diamalkan dan diterapkan pada peringkat berbeza," katanya dan beliau percaya Malaysia akan mempunyai masa depan cerah kerana rakyatnya secara berterusan menyumbang kepada pembangunan negara. 

Najib berkata, kaji selidik yang dilakukan oleh Global Peace Index tahun lalu yang mendedahkan Malaysia adalah negara ke-19 paling aman dan selamat daripada 153 negara di dunia, menunjukkan betapa berjayanya Malaysia walaupun ia sebuah negara berbilang kaum. 

"Anda dapat lihat betapa kayanya kita dengan pelbagai kumpulan etnik dan agama. Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua bagi keamanan dan kemakmuran ini," katanya. 

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K Dhammaratana Thera. 

Terdahaulu, Liow, yang juga Timbalan Presiden MCA dalam ucapannya berkata, semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai keluarga besar dan mendukung semangat muhibah dan saling menghormati. 

Beliau berkata, toleransi, persefahaman, sabar dan penyayang adalah keperluan asas untuk menjamin perpaduan dan keamanan di negara ini. 

"Rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinsip Semangat 1Malaysia iaitu semangat muhibah, persefahaman dan menghormati sebagai asas untuk sebuah negara progresif dan bersatu," katanya. 

Liow berkata, tema sambutan Hari Wesak ke-50 'Patriotisme dan Keharmonian Beragama untuk Malaysia Bersatu' jelas menunjukkan hasrat semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment