My Add

Monday 7 May 2012

Bryan, Qiang gegar Kanada

*AKSI Bryan Nickson Lomas (kanan) dan Huang Qiang ketika melakukan lompatan emas pada Grand Prix Montreal di Kanada, semalam. - Reuters

Oleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR, 06 Mei, 2012:Kombinasi Bryan Nickson Lomas-Huang Qiang membuktikan kejayaan mereka meraih gangsa pada kejohanan terjun Piala Dunia FINA di London, Februari lalu bukan sekadar nasib apabila merangkul pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama pada Grand Prix Montreal di Kanada semalam.

Kejayaan Bryan-Qiang ini memberi harapan baru buat Malaysia untuk memburu pingat Sukan Olimpik dalam acara terjun, yang semakin menunjukkan peningkatan besar sejak akhir-akhir ini.

Bryan-Qiang menjadi penerjun kedua negara berjaya memenangi emas pada kejohanan bertaraf Grand Prix selepas Pandelela Rinong-Leong Mun Yee melakukannya di Rostock, Jerman tahun lalu.

Baru berganding buat kali kedua dalam kejohanan kompetitif, kualiti persembahan dan keserasian kombinasi Bryan dan Qiang yang merupakan bekas jurulatihnya, tampak seperti pasangan penuh berpengalaman.

Pasangan negara itu mengumpul 431.31 mata untuk menewaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Alexandre Despatie-Rueben Ross (419.58) di hadapan penyokong mereka sendiri. Pingat gangsa milik pasangan Mexico, Rommel Pacheco-Jonathan Rovalcaba (388.71).

Dengan kekurangan dari segi darjah kesukaran (DD), terjunan yang dimiliki Bryan-Qiang berbanding Despatie-Ross, maka peluang untuk mengatasi lawan yang juga pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2009 itu adalah dengan melaksanakan terjunan mereka sesempurna mungkin.

Ketinggalan pada dua terjunan terakhir, Bryan-Qiang mempamerkan mutu terjunan mantap pada cubaan seterusnya yang menghasilkan kutipan mata tinggi, 87.72 dan 84.66, sekali gus memintas jaguh tuan rumah itu yang gagal meneruskan aksi garang mereka apabila sekadar meraih 70.35 dan 78.54 mata.

Prestij GP Montreal mungkin tidak setanding kejohanan besar yang lain kerana tidak menarik begitu ramai penyertaan jaguh handalan dunia, namun kejayaan Bryan-Qiang muncul juara tentunya memberi suntikan semangat terbaik buat diri mereka. Malah, ia juga membantu dari segi membina reputasi mereka selaku pencabar pingat di Olimpik London nanti.

Terdahulu, Pandelela-Mun Yee yang sepatutnya menjadi pasangan pilihan dalam acara 10m platform seirama selepas muncul naib juara keseluruhan Siri Terjun Dunia FINA baru-baru ini, agak mengecewakan apabila gagal meraih podium, sekadar mengakhiri saingan di tempat kelima dengan 301.32 mata. Acara tersebut dimenangi pasangan tuan rumah, Roseline Filion-Meaghan Benfeito (327.96).

Wakil negara dalam 3m papan anjal individu wanita, Cheong Jun Hoong juga gagal mencipta impak dalam saingan final, menamatkan aksi di tempat terakhir daripada enam peserta dengan 275.00 mata

Bryan yang turun tiga jam kemudian untuk peringkat final acara kegemarannya, 10m platform individu, turut hilang punca mungkin kerana keletihan apabila menduduki tempat terakhir saingan yang menampilkan enam penerjun itu. Acara itu dimenangi penerjun dari Mexico, Andres Villarreal (512.00).

Bryan hanya meraih 390.75 mata, dijejaskan dengan persembahan buruk pada terjunan kedua (24.90), ketiga (47.85) dan kelima (61.50). Begitupun, anak muda kelahiran Sarawak itu masih mampu mempamer baki tiga terjunan lain dengan kutipan mata cemerlang iaitu 84.8, 82.50 dan 88.20. Hari terakhir kejohanan yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia) menampilkan aksi Qiang dalam final 3m papan anjal individu dan Pandelela dalam 10m platform individu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment