My Add

Tuesday 15 May 2012

'Bukan sekadar mendengar'

*NAJIB yang merupakan peminat nombor satu Manchester United, menerima kejutan apabila dihadiahkan sebuah kerusi istimewa pasukan itu daripada pengurus, Sir Alex Ferguson menerusi wakilnya ketika melancarkan Sahabat Barisan Nasional UK (FBNUK) di House of Lords atau Parlimen United Kingdom, London, semalam.

Oleh Zaini Hassan
LONDON, ISNIN, 14 Mei, 2012: Di hadapan diaspora atau perantau Malaysia yang menghuni di United Kingdom, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa tugas kerajaan di bawah kepemimpinannya bukan lagi sekadar mendengar tetapi mendengar dengan teliti dan ikhlas suara rakyat, termasuk yang berada di luar negara.

Seperti yang pernah dikatakannya sebelum ini, Najib menegaskan era ‘kerajaan tahu semua’ telah berakhir dan kini tumpuan ialah untuk memperbaiki kedudukan rakyat.

‘‘Sudah banyak perubahan berlaku sejak beberapa tahun ini, kami mahu memastikan anda semua mengetahui mengenainya. Ekonomi kita telah diliberalisasikan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kekayaan rakyat jelata, dan merevolusikan perkhidmatan kerajaan, memperbaiki pendidikan, meningkatkan prasarana luar bandar, memperluaskan pengangkutan awam, mengurangkan kemiskinan, menurunkan kadar jenayah dan rasuah serta menurunkan kos sara hidup.

‘‘Selari dengan itu, kita juga telah merungkai satu pakej paling penting dalam reformasi politik sejak kemerdekaan, memansuhkan undang-undang keselamatan yang lapuk, memperkenalkan langkah-langkah baru meningkatkan kebebasan media dan mengambil langkah bagi membersihkan pilihan raya.

‘‘Dan proses pembaharuan itu tidak akan berhenti di situ," kata Najib semasa melancarkan Sahabat Barisan Nasional UK (FBNUK) di House of Lords atau Parlimen United Kingdom di sini hari ini.

FBNUK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, diwujudkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang menetap di negara ini dan juga di tanah air. Ia bertujuan sebagai satu pusat sehenti politik dan perdagangan di kalangan rakyat Malaysia dan pihak-pihak luar.

Ia dipengerusikan oleh CEO Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Datuk Dr. Micheal Yeoh, sementara pengerusi jawatankuasa penganjurnya ialah Peng Kiong Cho, seorang ahli perniagaan di sini.

Turut menyambut Perdana Menteri ialah seorang ahli politik dan usahawan terkemuka Britain, Mohamed Iltaf Sheikh atau dikenali dengan gelaran, Lord Sheikh of Cornhill.

Menurut data Bank Dunia, dianggarkan kira-kira 70,000 rakyat Malaysia menetap di negara ini.

Sementara itu, beliau mengajak perantau supaya: ‘‘Tolong, berhubunglah lebih rapat dengan Malaysia dan mainkan peranan lebih besar dalam pembangunan kebangsaan, sama ada pulang ke tanah air atau berkongsi kepakaran dari sini untuk negara."

Najib yang berada di sini untuk lawatan kerja dua hari berkata, sebagai negara yang masih muda dan perjalanan ke hadapan cukup menarik, perantau Malaysia perlu mengikuti dengan teliti perkembangan tanah air.

Sehubungan itu, menjadi harapan beliau dengan pelancaran Sahabat BN UK itu untuk melihat rakyat Malaysia di luar negara yang selama ini merasakan mereka disisihkan dapat dirapatkan semula.

‘‘Sahabat BN ialah satu perkumpulan yang unik, bukan sahaja sebuah kelab politik tapi sebuah jaringan sosial yang secara aktif akan memperkenalkan hubungan rapat antara Britain serta menyebarkan sumber informasi yang boleh dipercayai dan tepat kepada perantau Malaysia di UK," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment