My Add

Tuesday 15 May 2012

Najib ajak perantau berbakti

*NAJIB berucap pada majlis pelancaran FBNUK di London, semalam dalam rangka lawatan kerja dua hari ke UK.

Daripada Zaharah Othman
LONDON, ISNIN, 14 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara walaupun berada jauh dari tanah air.

Perdana Menteri berkata, sumbangan itu boleh dibuat sama ada pulang ke Malaysia atau berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan institusi kebangsaan dari pangkalan mereka di Britain.

“Malaysia masih mempunyai ruang untuk rakyat kita yang menetap di luar negara, tidak kira siapa mereka dan walau apa cara sekali pun mereka mahu menyumbang. Setiap orang ada peranan masing-masing, setiap orang ada peranan untuk melakukan perubahan dan setiap orang boleh maju serta makmur.

“Sebagai negara muda, perjalanan kita ke masa depan pasti amat menyeronokkan. Jadi, saya menggesa rakyat kita sentiasa berhubung rapat dengan Malaysia, ikuti setiap perkembangan yang berlaku di negara dan bersedialah untuk memainkan peranan anda,” katanya dalam ucap utama pada majlis pelancaran Rakan Barisan Nasional UK (FBNUK) di Dewan Negara di sini, semalam.

Turut hadir Presiden FBNUK yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), Datuk Michael Yeoh; bekas Pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Munir Majid; Pengerusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Perdana Menteri tiba di sini pagi semalam dalam rangka lawatan kerja dua hari ke UK. Selain melancarkan FBNUK, Najib akan menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Putera Wales, Putera Charles sempena penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) dengan Perdana Menteri adalah ahli majlis tertingginya. 

Penganugerahan Piagam Diraja itu kepada OCIS adalah signifikan kerana menandakan kali pertama sebuah institusi Islam di UK dianugerahkan dengan status berprestij itu. 

Dalam ucapannya, Najib berharap FBNUK dapat membantu bukan saja mewujudkan hubungan lebih erat antara kedua-dua negara, tetapi sebagai sumber untuk menghebahkan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia di UK.

“Saya teruja kerana ada ramai sahabat BN di UK (FBNUK. Seperti semua persahabatan, ia perlu dipupuk dan diperkukuhkan. Saya ingin mengajak FBNUK menyertai perjalanan kami menjadikan Malaysia satu kejayaan.

“Saya juga berharap FBNUK menyebarkan cerita benar mengenai Malaysia, keadaan sebenar negara. Ketika ini banyak maklumat tidak benar disebarkan sehingga menjejaskan imej Malaysia,” katanya.

Mengimbas hubungan Malaysia-Britain, beliau berkata, sejak Syarikat Hindia Timur membuka cawangannya di Pulau Pinang lebih 200 tahun, Malaysia mempunyai jaringan dagangan kukuh dengan UK dan diperkukuhkan lagi dengan lawatan Perdana Menterinya, David Cameron ke Malaysia, bulan lalu.

Perdana Menteri juga menghargai sokongan rakyat UK kepada Ashraf Haziq, pelajar Malaysia yang cedera dan dirompak ketika rusuhan di England, tahun lalu, 
“Insiden itu membuktikan kedua-dua negara bukan saja bersama dalam nilai kita, malah turut komited terhadap keluhuran undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata, objektif penubuhan FBNUK adalah mengelak salah tafsir terhadap Kerajaan Malaysia dan mempromosi inisiatif transformasi Perdana Menteri, selain mewujudkan hubungan lebih erat antara kedua negara dalam perniagaan dan ekonomi. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment