My Add

Tuesday 15 May 2012

Dr M yakin Najiib mampu buat lebih baik daripada 2008

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Tun Dr Mahathir Mohamed yakin Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berupaya memperoleh kemenangan lebih baik dalam pilihan raya umum akan datangberbanding pencapaiannya pada 2008.

Bekas Perdana Menteri itu berkata terdapat beberapa petanda baik untuk membubarkan Parlimen, namun ia terpulang kepada Najib bagi menentukan sama ada BN berupaya mencapai objektifnya untuk memperoleh majoriti dua pertiga. 

"Saya juga amat yakin beliau (Najib) ingin mencapai majoriti dua pertiga, 
namun sama ada ia boleh dicapai atau tidak, itu adalah perkara yang berbeza. 
Tetapi saya fikir beliau mungkin boleh melakukannya lebih baik daripada 2008," 
katanya kepada pemberita selepas diisytihar Ikon Membaca Nasional Keempat di 
Perpustakaan Negara hari ini.

Apabila ditanya masa terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen, bekas perdana menteri itu dengan pantas menjawab, "Selepas raya."

Beliau turut mengulas kenyataan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik 
bahawa BN tidak mampu menawan Selangor jika pilihan raya umum diadakan dalam bulan Jun.

"Hendak kata tidak menang tu tidaklah... tetapi kita perlu ambil masa, saya 
fikir kalau saya masih jadi Perdana Menteri, saya akan ambil masa yang cukup 
(sebelum membubarkan parlimen), kita ada sampai 2013," katanya.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata beliau yakin demonstrasi jalanan 28 
April di ibu negara baru-baru ini hampir tidak mempunyai sebarang kesan terhadap 
pilihan raya umum akan datang kerana rakyat menyedari ia bukanlah berkaitan 
reformasi pilihan raya.
"Ia hanya cuba memberi gambaran bahawa kerajaan negara ini melakukan 
penindasan dan mengamalkan kekejaman polis agar mereka boleh menumbangkan 
kerajaan melalui demonstrasi.

"Mereka fikir mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya, jadi mereka 
fikir kita (Malaysia) perlu diperlihatkan seperti Tahrir Square di Kaherah di 
mana demonstasi diadakan setiap hari sehingga akhirnya kerajaan dapat 
ditumbangkan, itu sebenarnya yang mereka mahu lakukan," katanya.

Mengulas khabar angin bahawa anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir kini mengintai 
peluang untuk menjadi Menteri Besar Kedah, Dr Mahathir berkata beliau tidak 
mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu.

"Yang lebih penting ialah apa yang kepimpinan mahu beliau lakukan." -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment