My Add

Tuesday 15 May 2012

Dr Mahathir pemimpin luar biasa, rajin membaca: Muhyiddin


*Muhyiddinmelancarkan Kempen Nilai-nilai Murni 1Malaysia di Perpustakaan Negara, hari ini. Turut kelihatan Tun Mahathir Mohamad (kanan) dan Datuk Seri Dr Rais Yatim. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Tabiat membaca Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadikannya seorang pemimpin yang berwawasan, berpengetahuan luas dan kemampuan luar biasa hingga meletakkan pembangunan dan kemajuan negara melepasi ujian zaman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berata, rakyat perlu menyemai minat membaca yang mendalam dan luas dalam pelbagai bidang ilmu yang akan memberi kesan positif kepada pemikiran mereka serta membantu usaha negara menjadi sebuah negara maju.

Beliau meminta rakyat mencontohi kualiti yang dimiliki oleh bekas perdana 
menteri itu yang dilantik sebagai 'Ikon Membaca Kebangsaan'.

Katanya ketokohan Dr Mahathir melalui pembacaan yang tekun, menjadikan 
beliau pemikir yang ulung dan pengungkap agung idea-idea pembangunan dan 
kemajuan yang menjadi tunjang sebuah masyarakat maju dan berilmu. 

"Hari ini, kita dapat lihat bagaimana pandangan jauh bekas Perdana Menteri itu dalam meletakkan asas kepada pembangunan dan kemajuan negara telah berjaya 
melepasi ujian zaman," katanya ketika melancarkan Ikon Membaca Kebangsaan dan Penyemarakkan Kempen Nilai-Nilai Murni 1Malaysia, di Perpustakaan Negara, di sini hari ini. 

Muhyiddin berkata idea Dr Mahathir untuk membina Jambatan Pulau Pinang dan 
pembinaan kompleks kerajaan di Putrajaya yang sebelum ini dianggap pembaziran 
oleh pembangkang kini terbukti memberi sumbangan besar kepada pembangunan 
negara.

Pada majlis itu, Dr Mahathir dilantik sebagai 'Ikon Membaca Kebangsaan' yang 
ketiga selepas Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2009 dan pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh pada 2010.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri 
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar. 

Muhyiddin berkata pemikiran jauh Dr Mahathir juga telah berjaya 
menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada dibinasakan oleh neo-imperialis ketika kesan krisis ekonomi pada 1997.

Bagaimanapun, katanya, sumbangan beliau yang paling besar kepada negara 
ialah daripada Dasar Pandang Ke Timur hingga ke Wawasan 2020 yang berjaya 
membangkitkan kesedaran rakyat dan menggerakkan kudrat seluruh warga negara 
untuk mencapai cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju. 

"Legasi pemikiran dan gagasan Tun Dr Mahathir inilah yang diteruskan oleh 
kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari 
ini," katanya.

Mengenai keistimewaan Dr Mahathir sebagai ikon membaca, Muhyiddin berkata 
walaupun beliau dilatih sebagai seorang doktor perubatan, namun beliau mampu 
mengungkapkan idea-idea bernas dalam pelbagai bidang, mencakupi bidang ekonomi, politik, undang-undang, sosial, budaya, teknologi dan sebagainya. 

Sementara itu, Rais dalam ucapannya berkata pemilihan Dr Mahathir sebagai 
ikon adalah kerana negara memerlukan satu 'penghulu' membaca dan bagi menjadikan tabiat membaca itu sebagai darah daging seseorang. 

"Kami berdua (Muhyiddin dan Rais adalah anak murid politik yang belajar 
di bawah Tun Dr Mahathir. Antara dua itu, mungkin saya yang lebih tua, tetapi 
satu perkara yang saya tidak dapat mempelajari kesemuanya (daripada Tun) ialah 
cara beliau gemar membaca, cara beliau menulis secara prolifik, setakat ini. 

"Dengan sedemikian, dunia mengiktiraf beliau sama ada menerusi anugerah atau 
pengiktirafan daripada universiti di Malaysia sendiri. Setakat ini, 
20 pengiktirafan dan penganugerahan daripada 20 universiti di Malaysia telah 
diberikan kepada beliau," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment