My Add

Tuesday 15 May 2012

Dua warga Iran lepas, bebas hukuman gantung

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Mei, 2012: Dua lelaki warganegara Iran hari ini terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, tahun lalu. 

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Alireza Nouri, 31, dan Mohamed Najafi, 32, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang disimpan dalam peti besi yang berkunci di dalam bilik hotel yang didiami mereka.

"Berdasarkan keterangan saksi, kedua-dua tertuduh tidak dapat memberikan nombor kombinasi pada peti besi itu walaupun disoal berkali-kali oleh beberapa anggota polis. 

"Saya berpendapat sekiranya terdapat ramai anggota polis dalam bilik itu dan hanya kedua-dua tertuduh berada di situ, tidak mungkin mereka tidak akan bekerjasama sekiranya disoal," kata Ghazali. 

Selain tiada kesan cap jari kedua-dua tertuduh ditemui pada peti besi itu, Ghazali berkata, pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan dua saksi penting iaitu Damarchilli Majid dan teman wanitanya yang dikenali sebagai Julia dalam kes ini. 

"Fakta bahawa Julia pernah datang ke bilik yang didiami kedua-dua tertuduh memang tidak dapat dinafikan dan rakaman CCTV menunjukkan wanita itu yang dalam keadaan mencurigakan memasuki bilik tersebut dengan membawa bungkusan plastik di tangannya dan dalam kes ini kedua-dua tertuduh telah dipergunakan oleh Damarchilli," katanya. 

Ghazali berkata, pihak pembelaan menghujahkan Damarchilli adalah pengedar dadah yang sebenar dalam kes ini dan kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan lelaki warga Iran itu sebagai saksi utama dalam kes ini telah mematahkan kredibiliti pendakwaan. 

Alireza dan Mohamed Najafi didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,203.8 gram di bilik No 1902, Hotel Seri Pacific, Jalan Putra di sini pada 2.20 petang 11 Januari 2011. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan. 

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil semasa perbicaraan kes itu. Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason mewakili pihak pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Teik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment