My Add

Tuesday 15 May 2012

Polis Perak tahan dua lelaki dipercayai terbabit BERSIH 3.0

IPOH, SELASA, 15 Mei, 2012: Polis menahan dua individu, dipercayai terbabit dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan, berkata kedua-dua individu itu, peniaga pasar malam, Amirullah Sidek, 43, dari Tambun dan tukang paip, M Lekchemanan, 52, dari Klebang, berjaya dikesan melalui gambar yang disiarkan oleh akhbar sebelum ini dan ditahan di rumah masing-masing Sabtu lalu.

Shukri berkata, kedua-dua lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

"Kita telah mengenal pasti hanya dua saja individu dari Perak yang terbabit dalam kekecohan ketika perhimpunan Bersih 3.0 itu," katanya selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata, polis menahan seorang lelaki kerana memiliki sepucuk pistol ketika sedang menunggang motosikal di sebuah stesen minyak, Jalan Ipoh-Lumut, dekat Manjung, Jumaat lalu. 

Beliau berkata, lelaki yang berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi oleh anggota peronda polis ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. 

"Pada mulanya lelaki itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis tetapi berjaya ditahan selepas polis mengejarnya sejauh 5km," katanya. 
Katanya polis menemui sepucuk pistol, lapan butir peluru dan empat telefon bimbit dalam beg galas yang disandang lelaki itu. 

Lelaki itu yang bekerja sebagai peniaga pasar malam direman selama seminggu untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, polis menahan enam lelaki berusia 20 hingga 35 tahun kerana terbabit menyerang seorang pesakit di sebuah hospital swasta di sini, 8 Mei lalu. 

Shukri berkata, kesemua lelaki itu ditahan Khamis lepas di kawasan Pekan Baru di sini. 

Dalam kejadian itu, sekumpulan lapan hingga 12 lelaki telah melakukan kekecohan di sebuah hospital swasta di sini dengan menyerang seorang pesakit pada jam 7 pagi. 

Siasatan polis mendapati pesakit berkenaan dimasukkan ke wad hospital itu akibat cedera berikutan satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di sini. 

Pesakit berkenaan berjaya melarikan diri dengan terjun ke balkoni wad bagi mengelak serangan daripada kumpulan berkenaan. 

Kesemua lelaki yang ditahan itu direman seminggu untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment