My Add

Monday 14 May 2012

IKBN Penawar pusat kecemerlangan minyak dan gas

PUTRAJAYA, ISNIN, 14 Mei, 2012: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penawar, Johor akan dijadikan sebagai pusat kecemerlangan khusus untuk pengajian dalam bidang industri minyak dan gas.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bagi menampung keperluan tenaga mahir Wilayah Iskandar yang menuntut antara 30,000 hingga 40,000 pekerja dalam bidang itu untuk lima tahun akan datang.

"Usaha bagi mentransformasi IKBN itu sedang dijalankan dan pengambilan pertama untuk bidang tersebut akan bermula Julai ini dan tempoh pengajian adalah selama enam bulan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Selain itu, kementerian juga akan mengadakan lebih banyak usahasama strategik dengan syarikat yang mempunyai kepentingan dengan IKBN bagi memantapkan lagi latihan dan kemahiran yang ditawarkan institusi tersebut.

"Untuk tujuan itu pada tahun ini sebanyak 12 memorandum persefahaman akan ditandatangani dengan syarikat berkaitan antaranya Esso dan Lion Group of Companies," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis penyampaian diploma graduan IKBN, Ahmad Shabery berkata lima IKBN iaitu IKBN di Alor Gajah, Chembong, Pagoh, Bukit Mertajam dan Bachok akan dijadikan pusat kecemerlangan dalam bidang hospitaliti, automotif, mekanikal, elektronik dan kejuruteraan awam.

"Kesemua pusat kecemerlangan itu akan menawarkan latihan diploma lanjutan kemahiran tahap lima," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment