My Add

Monday 14 May 2012

Ekonomi negara dalam keadaan baik

KOTA BHARU, ISNIN, 14 Mei, 2012: Ekonomi negara berada dalam keadaan baik berikutan kebijaksaan kerajaan yang sudah membuat persediaan awal dengan tidak lagi bergantung kepada mana-mana pihak untuk memastikan kemakmuran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, zaman Malaysia bergantung kepada eksport komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih ke negara maju sudah berlalu apabila menjadi negara industri dan mempelbagaikan ekonominya.

Keadaan itu katanya, membolehkan ekonomi negara tidak menerima kesan langsung sekiranya berlaku kejatuhan harga bahan komoditi dan kemerosotan ekonomi negara terbabit khususnya Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kita juga sudah tidak lagi bergantung kepada Amerika Syarikat atau Eropah, hanya 18 peratus daripada eksport kita (ke negara berkenaan), yang lain ke negara membangun seperti China, India dan negara Arab yang pertumbuhan ekonomi mereka lebih tujuh peratus.

"Selagi ekonomi negara-negara ini dapat penjanaan pada kadar pertumbuhan yang tinggi tujuh peratus atau lebih, kita dalam keadaan yang baik.

" Kita juga sudah mengambil keputusan untuk tidak terlalu bergantung kepada eksport, kita nak pelbagaikan ekonomi dengan penggunaan domestik menjadi satu faktor utama dalam penjanaan ekonomi kita," katanya selepas menyampaikan surat tawaran biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) kepada 37 pelajar dari Kelantan, Terengganu dan Pahang di Hotel Grand Riverview di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment