My Add

Friday 11 May 2012

Ikhlas desak Ambiga beri respons segera

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), mendesak Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga segera tampil memberi respons untuk bertanggungjawab terhadap peniaga-peniaga kecil yang terjejas ekoran perhimpunan haram Bersih 3.0 lalu.

Pengerusinya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, Ikhlas memberi masa dua minggu kepada Ambiga untuk menjawab semua tuntutan yang dibuat para peniaga dan mengemukakan permohonan maaf.

Katanya, jika pihak Ambiga gagal untuk memenuhi permintaan tersebut, bantahan yang bakal melibatkan lebih ramai peniaga akan diadakan di hadapan dan sepanjang laluan menuju ke rumah bekas Presiden Majlis Peguam itu.

"Ikhlas akan terus bangkit membela nasib para peniaga kecil ini demi menjaga kebajikan dan mata pencarian mereka.

"Justeru, tidak kira siapa sahaja yang melakukan tindakan sehingga menyebabkan periuk nasi peniaga dan usahawan kecil ini terjejas, Ikhlas akan bangun ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara, di sini hari ini.

Dalam perhimpunan lebih kurang sejam itu, kira-kira 20 wakil peniaga hadir berhimpun dan sebuah gerai burger dibuka sebagai simbolik bagi menggambarkan kepayahan peniaga yang tidak dapat menjalankan rutin perniagaan akibat perhimpunan haram Bersih 3.0.

Menyentuh mengenai perhimpunan yang diadakan, Mohd. Ridzuan berkata, ia bertujuan memberikan kesedaran kepada Ambiga berkenaan kepayahan dan kesukaran yang ditanggung peniaga ekoran perhimpunan Bersih lalu.

Tegasnya, Ikhlas mahu Ambiga merasai bagaimana sukarnya untuk menjalankan aktiviti harian apabila bantahan dan perhimpunan diadakan di hadapan rumahnya sendiri.

"Kita mahu beliau rasa bagaimana sukarnya untuk keluar rumah, menghantar anak ke sekolah ataupun terlibat dengan kecemasan apabila laluan dihalang dengan peserta perhimpunan.

"Hari ini baru permulaan, kalau beliau masih tidak mahu bertanggungjawab, kita akan himpunkan lebih ramai peniaga di hadapan rumahnya," tegasnya.

Selain itu, katanya, Ikhlas akan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar memberikan rebat kepada peniaga-peniaga yang terpaksa menanggung kerugian ekoran perniagaan yang terjejas.

"Kita harap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi rebat sewa dan bil utiliti kepada peniaga terlibat bagi tempoh 27 hingga 29 April lalu kerana kerugian besar yang terpaksa mereka tanggung," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment