My Add

Monday 14 May 2012

J/kuasa Kabinet bincang proses migrasi pekerja Bangladesh

PUTRAJAYA, ISNIN, 14 Mei, 2012: Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan membincangkan cadangan penubuhan satu sistem khas berdasarkan kerjasama kerajaan-kerajaan untuk memudahkan kelancaran migrasi pekerja Bangladesh ke negara ini tidak lama lagi. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Bangladesh Khandker Mosharraf Hossain mencadangkan idea itu dalam perbincangan mereka hari ini.

Beliau berkata di bawah sistem itu, kerajaan akan mendaftarkan semua pekerja yang berminat untuk bekerja di luar negara dan bertindak sebagai pemudah cara dalam proses memadankan keperluan majikan dan kelayakan pekerja.

"Ia satu cadangan yang menarik, (kerajaan) mereka nyatakan mereka telah melaksanakannya dengan negara lain dengan mengekalkan profil pekerja berpotensi dan apabila mereka menerima permintaan dari negara tertentu, mereka boleh memenuhi permintaan itu dan melancarkan proses itu pada kos yang lebih rendah serta jaminan yang lebih baik terhadap pekerja dan majikan," katanya. 

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan hormat Mosharraf, Subramaniam mengucapkan terima kasih kepada Bangladesh yang memperkenal mekanisme yang sangat baik dalam mengurangkan kos penghantaran pekerja ke luar negara. 

"Saya memaklumkan kepada menteri (Mosharraf) bahawa kita akan membincangkan isu ini dengan lebih lanjut dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing bagaimana kita boleh melaksanakan kerjasama baru ini bagi memudahkan lagi proses dan mengurangkan isu lain yang dihadapi sebelum ini," katanya. 

Subramaniam berkata beliau juga memaklumkan kepada Mosharraf mengenai program 6P yang sedang dilaksanakan, yang mana kira-kira 267,000 pekerja Bangladesh didaftarkan di bawah program itu sejak beberapa bulan lepas, bagi proses pemutihan. 

Katanya menerusi pendaftaran itu, terdapat kira-kira 400,000 pekerja Bangladesh kini bekerja di negara ini dan kebanyakannya dalam sektor perkilangan dan sebahagiannya dalam industri pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan pertanian. 

Beliau menegaskan bahawa dengan sejumlah 267,000 pekerja Bangladesh yang bekerja secara haram di negara ini, menunjukkan bahawa terdapat beberapa masalah dalam proses pengambilan pekerja dan cadangan yang dikemukakan oleh Bangladesh adalah baik bagi mengatasi masalah itu. 

Sementara itu, Mosharraf berkata kos yang tinggi untuk migrasi dikenal pasti sebagai punca utama masalah itu yang mana pekerja biasanya tidak dapat pulang ke negara mereka kerana tidak boleh membiayai kosnya menyebabkan mereka tinggal melebihi tempoh di negara ini. 

Menyedari masalah itu, beliau berkata kerajaan Bangladesh telah mengemukakan cadangan kos migrasi yang munasabah bagi pekerja terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment