My Add

Monday 14 May 2012

Bekas pengarah, penjaga gol simpanan Singapura bebas

*ESWARAMORTHY Pillay (kanan) dan J Alan Rajendram keluar dari mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini selepas mahkamah membuat keputusan melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan pecah amanah. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, melepas dan membebaskan bekas pengarah syarikat LFE Corporation Berhad daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM18.99 juta milik syarikat itu. 

Hakim S M Komathy Suppiah membebaskan J Alan Rajendram, 56, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut melepas dan membebaskan bekas penjaga gol simpanan pasukan bola sepak Singapura, Eswaramoorthy Pillay, 46, terhadap pertuduhan bersubahat dengan Rajendram atas kesalahan yang sama, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Komathy dalam keputusannya berkata, wang milik syarikat itu yang diamanahkan kepada kedua-dua tertuduh hanya sebagai pinjaman dan tidak boleh dikatakan tertuduh melakukan kesalahan pecah amanah. 

Bagi pertuduhan pertama, Rajendram didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan wang sebanyak RM9.99 juta milik LFE Corporation di Standard Chartered Bank Berhad, antara 11 dan 16 Januari 2007 di Jalan Ampang di sini. 

Bagi kesalahan kedua, Rajendram didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan jumlah RM9 juta pada 4 Januari 2007, di tempat yang sama manakala Eswaramoorthy pula didakwa bersubahat dengan Rajendram terhadap dua pertuduhan yang sama. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda. 

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Rajendram membela diri terhadap empat pertuduhan lain iaitu mengemukakan penyataan palsu kepada Bursa Malaysia Sekuriti Berhad di dalam penyata berakhir 31 Mac 2007, 30 Jun 2007, 30 September 2007 dan 31 Disember 2007. 

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk Rajendram membela diri terhadap pertuduhan itu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 31 Mei 2007 sehingga 28 Februari 2008, di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di sini. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian 1983, yang boleh didenda RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya dan Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, yang juga boleh dikenakan denda RM3 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Punesvaran dan pegawai pendakwa Zul'Aida Zulkifli daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia manakala Eswaramoorty diwakili peguam Harvinderjit Singh dan Rajendram diwakili peguam M Athimulan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment