My Add

Saturday 12 May 2012

Kampung Kerinchi perintis konsep pembangunan K-Baru

KUALA LUMPUR, SABTU, 12 Mei, 2012: Projek pembangunan semula rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi dipilih menjadi perintis pelaksanaan konsep K-Baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat bandar. 

Konsep K-Baru itu dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di sini hari ini.

Menerusi konsep itu, pembangunan semula penempatan berkenaan yang akan dikenali sebagai Kerinchi Residensi, akan ditransformasikan menjadi kawasan pangsapuri moden dengan persekitaran yang selesa, bersih dan selamat.

"Melalui K-Baru, pemilik akan mendapat banyak manfaat dari pelbagai sudut seperti peningkatan taraf sosial, ekonomi dan pemilikan kediaman yang mempunyai nilai hartanah berpotensi tinggi yang dapat memberi pendapatan lumayan di masa akan datang," kata Raja Nong Chik ketika berucap pada majlis pecah tanah Kerinchi Residensi dan pelancaran K-Baru transformasi itu. 

Di bawah konsep K-Baru yang diaplikasikan dalam pembinaan Kerinchi Residensi itu, komunitinya akan mendapat manfaat dari segi keluasan unit daripada 418 kaki persegi kepada 882 kaki persegi yang mana tempoh pajakan tanah selama 99 tahun berbanding 65 tahun dengan nilai pasaran mencecah sehingga RM300,OOO seunit. 

Raja Nong Chik berkata, pembangunan semula perumahan awam kerajaan itu dilaksanakan secara kerjasama antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) bersama-sama pihak swasta. 

Ditanya pemberita kemudian mengenai baki 28 unit Kerinchi Residensi yang tidak akan didiami, beliau berkata pihak pemaju sudah bersetuju hasil perbincangan bersama wakil penduduk dan kementerian untuk menyewa atau menjual unit tersebut kepada waris komuniti Kerinchi yang berminat.

"Baki 28 unit yang tidak akan didiami itu nanti adalah daripada jumlah 35 penduduk yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan ini dan hasil perbincangan bersama, ia sudah diputuskan untuk disewa atau dijual kepada anak, waris mahupun saudara mara komuniti Kerinchi yang menetap di rumah pangsa Kampung Kerinchi," katanya. 

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak pemaju Suez Domain Sdn Bhd sudah bersetuju untuk menambah keluasan unit Kerinchi Residensi kepada 900 kaki persegi sebagai tanda terima kasih atas kerjasama penduduk menyokong usaha dan kerja pembangunan kawasan itu. 

"Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan khabar gembira kepada bakal pemilik rumah baru nanti di mana keluasan asal rumah iaitu 882 kaki persegi akan diperluaskan kepada 900 kaki persegi oleh pihak pemaju," katanya. 

Raja Nong Chik berkata, konsep K-Baru itu akan diaplikasikan di beberapa projek pembangunan semula di kawasan Lembah Pantai pada masa hadapan. 

Sementara itu, Pengarah Suez Domain Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad, berkata kerja merobohkan unit rumah lama akan berlanjutan sehingga tempoh tiga bulan akan datang. 

"Buat masa sekarang, kita memfokuskan kerja merobohkan unit lama dan ia agak sukar dilakukan kerana sistem saliran dan elektrik di dalam tanah di kawasan ini agak usang hasil teknologi lama. Kita menjangkakan unit baru boleh didiami dalam tempoh 25 hingga 26 minggu selepas proses perobohan iaitu menjelang tahun 2015 penduduk sudah mula mendiami unit baru," katanya. 

Rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi mula didiami penduduk pada tahun 1974, yang terdiri daripada dua jenis rumah iaitu rumah yang mempunyai satu bilik dan satu bilik air dan rumah yang tiada bilik dengan satu bilik air. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment