My Add

Friday 18 May 2012

Keputusan isu air selepas forum bulan depan: Khalid Ibrahim

SEPANG, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri hanya akan membuat keputusan mengenai tindakan yang harus diambil berhubung isu air di negeri itu selepas forum bulan depan. 

"Forum itu akan dihadiri pakar dalam bidang berkaitan dan kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan mereka sebelum memutuskan tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai kenyataannya untuk menyaman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, serta Kerajaan Pusat berkaitan isu sama, beliau berkata mereka kini bersedia untuk meneruskan tindakan tersebut.

Abdul Khalid sebelum ini dilapor mahu membawa Chin ke mahkamah selepas menteri itu enggan membantu memecahkan kebuntuan dalam rundingan bagi penstrukturan semula industri air membabitkan kerajaan Selangor dan pemegang konsesi. 

Chin dilapor berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk meminta pemegang konsesi air di Selangor bersetuju terhadap rancangan penyusunan semula oleh kerajaan negeri itu. 

Chin berkata demikian sebagai menjawab permintaan Abdul Khalid agar menteri itu menggunakan kuasa menterinya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan pemegang konsesi air bersetuju dengan rancangan berkenaan. 

Mengulas satu isu yang dibangkitkan sebuah blog, Abdul Khalid berkata harga RM250,000 bagi sebuah lori sampah yang dibeli kerajaan negeri itu adalah yang terbaik dan tidak perlu dipertikaikan. 
Katanya, lori itu dibeli bagi menggantikan lori sampah yang lama untuk membantu 12 pihak berkuasa tempatan dalam urusan pengendalian kutipan sampah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment