My Add

Tuesday 15 May 2012

‘Kerajaan berada di landasan betul’

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Nazura Ngah, S Anand Kumar, Johari Mohd Ali dan Zanariah Abdul Mutalib 

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang keluar daripada parti itu, semalam berkata kerajaan berada di landasan yang betul dan telah melakukan banyak transformasi bagi memenuhi kepentingan negara seperti yang dituntut oleh parti pembangkang. 

Beliau tidak bersetuju dengan dakwaan pakatan pembangkang kerajaan tidak membawa perubahan kerana sebagai rakyat Malaysia beliau melihat apa yang kerajaan lakukan, termasuk program transformasi akan membawa perubahan kepada apa yang diperjuangkan oleh pembangkang ketika ini.

Tunku Abdul Aziz ditanya mengenai dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal melakukan apa yang sepatutnya dilaksanakan dan sama ada pembangkang mampu membentuk kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mereka selalu kata kerajaan tidak membuat perkara yang betul dan sebagainya. Sekarang daripada pengalaman saya bukan sebagai ahli politik tetapi sebagai orang korporat... amat mudah untuk mengatakan bahawa itu tidak betul dan ini tidak betul dan sebagainya, tetapi jangan menjadikannya sebagai satu tabiat. 

“Secara peribadi ia tidak boleh terima jika anda tidak memberikan sebarang kredit kepada kerajaan. Saya tidak kata apa yang mereka buat semuanya betul tetapi pada masa sama bukan semua yang mereka buat adalah salah. 

“Mengenai soalan adakah pembangkang apabila diberi kuasa akan membuat yang terbaik, sudah tentunya perkara ini harus dilihat. Tetapi kita perlu melihat kepada rekod, pencapaian mereka dan secara asasnya mereka tidak mempunyai pengalaman,” katanya. 

Mengenai pencapaian kerajaan, beliau berkata kerajaan berada di landasan yang betul dan boleh melakukan lebih baik kerana sedia mendengar permintaan pembangkang dan rakyat. 

Katanya, mungkin ada yang akan mendakwa beliau sudah dibeli oleh UMNO atau MCA membayarnya berjuta ringgit untuk membuat kenyataan itu selepas menonton program malam tadi, namun baginya ia adalah skrip biasa yang akan diucapkan oleh sesiapa saja yang tidak bersetuju dengan pandangan politik mereka. 

Beliau juga menegaskan tidak mudah untuk kerajaan membuat sesuatu untuk memuaskan hati semua pihak kerana kepelbagaian kaum dan agama di negara ini. 

“Anda tahu ia bukan senang, kita boleh cakap kita boleh buat yang baik..., ini adalah negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang kebudayaan. Jika anda meluluskan undang-undang yang kemungkinan menggembirakan masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan India tidak suka. 

“Ia seperti berjalan atas tali yang tegang. Anda tahu ia bukan senang. Perkara sebenar adalah berfikir untuk kepentingan semua. Bagi sesetengah ahli politik, berjaya ke Putrajaya dan akan mengubah semua... ia senang untuk bercakap daripada melakukannya,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment