My Add

Tuesday 15 May 2012

Pemandu teksi mahu tubuh gabungan persatuan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Beberapa persatuan pemandu teksi di ibu kota berhasrat membentuk sebuah gabungan persatuan bagi membela nasib golongan itu serta sebagai saluran untuk menyalurkan bantuan daripada kerajaan.

Pengerusi Badan Bertindak Gabungan Teksi, Aziz Ismail berkata, pihaknya telah menghantar memorandum permohonan bagi mewujudkan satu jabatan atau badan yang mengendali dan membantu pemandu-pemandu teksi di seluruh negara.

Katanya, memorandum tersebut dihantar hari ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah.

‘Gabungan ini akan dikenali sebagai Gabungan Persatuan-persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa SeMalaysia (Gapteks) yang kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Buat masa sekarang terdapat kira-kira 10 persatuan teksi di Kuala Lumpur dan Shah Alam telah menyertai gabungan ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan memorandum tersebut di Danau Kota, di sini hari ini.

Aziz berkata, antara perkara yang akan diperjuangkan oleh Gapteks ialah mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insurans dan mendapatkan bantuan daripada kerajaan kepada persatuan yang berada di bawah gabungan.

“Kami memohon agar kerajaan dapat membenarkan gabungan ini diwujudkan. Kami mohon kerajaan memberi tempoh percubaan selama enam bulan bagi melihat kemampuan kami.

“Gapteks ini juga akan dipantau oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh masuk dan meneliti akaun kami bila-bila masa supaya tiada berlaku salah guna kuasa," jelasnya.

Selain itu, kerajaan juga diminta membantu proses awal penubuhan gabungan itu dalam bentuk bantuan pejabat dan peralatannya seperti komputer bagi kerja-kerja pentadbiran. UTUSAN 

No comments:

Post a Comment