My Add

Monday 14 May 2012

Kerajaan salur RM40j pulih projek rumah terbengkalai

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Kerajaan menyalurkan sebanyak RM40 juta untuk memulihkan 14 projek perumahan kos rendah yang terbengkalai di seluruh negara sejak 2009, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung. 

Empat belas projek itu adalah sebahagian daripada 177 projek terbengkalai yang dikenal pasti di seluruh negara dari 2009 hingga Mac tahun ini, yang mana 100 daripadanya berjaya dipulihkan, katanya.

"Sebanyak 100 skim perumahan swasta terbengkalai berjaya disiapkan dan diserah kepada pembeli.

"Kerajaan persekutuan bertungkus-lumus untuk memastikan supaya skim rumah terbengkalai swasta ini dapat dipulih dan diserah kepada pembeli secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat projek Pangsapuri Li Garden, sebuah projek perumahan kos rendah yang terbengkalai di Kepong di sini, hari ini. 

Beliau berkata, selebihnya dipulihkan menerusi inisiatif pihak swasta. 

"Baki 77 projek lagi sedang dalam pembinaan dan dalam pelbagai peringkat pembinaan untuk disiapkan," katanya. 

Beliau berkata, Selangor juga mencatatkan projek terbengkalai tertinggi dalam negara, iaitu 31 projek. 

Projek Pangsapuri Li Garden, yang merangkumi 540 unit kos rumah rendah terbengkalai sejak 2006 selepas syarikat pemajunya Gallant Acres Sdn Bhd diisytiharkan bankrap. 

Pemilik tanah Kepong Development Sdn Bhd dan likuidator Tetuan Hals & Associates kemudian bersetuju untuk meneruskan projek itu. 

Projek itu kini sudah 85 peratus siap dan Chor berkata, ia dijangka siap dan diserahkan kepada pemilik pada Februari tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment