My Add

Friday 25 May 2012

Lepasan SPM wajib sertai PLKN?

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
KUANTAN, KHAMIS. 24 Mei, 2012: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan kesemua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja yang berusia 18 tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pengerusinya, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, syor itu dibuat kerana pihaknya mendapati PLKN merupakan program berkesan dalam mendisiplinkan golongan remaja yang menyertainya.

“PLKN merupakan program yang lengkap. Ia mengajar mengenai disiplin, tentang sejarah kerajaan, sistem pentadbiran kerajaan dan sehingga kini maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program ini cukup memberangsangkan.

“Ini telah memberi dorongan kepada kita (Anggota Majlis MLKN) untuk syorkan kepada kerajaan supaya mewajibkan program PLKN," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kem PLKN Hijrah, di Penor di sini hari ini.

Tiki berkata, sekiranya syor itu dipersetujui nanti, kerajaan perlu mengkaji prasarana yang ada sama ada perlu diperluas atau dibina baru untuk menampung kira-kira 500,000 pelajar lepasan SPM.

“Kita sedar jika PLKN diwajibkan, kita memerlukan kem latihan yang banyak dan kakitangan seperti jurulatih perlu ditambah. Kem sedia ada boleh menampung tetapi kapasitinya perlu ditambah," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya juga ingin mencadangkan supaya setiap ahli politik menyertai program latihan tersebut selama tiga hari untuk sama-sama merasai kehidupan pelatih di dalam kem.

“Langkah ini bagi membolehkan mereka melihat sendiri bagaimana PLKN dapat membantu pelatih dan secara tidak langsung menolak dakwaan negatif sesetengah pihak mengenai program ini," katanya.

Menurutnya lagi, dakwaan bahawa PLKN kurang mendapat sambutan adalah tidak benar sama sekali kerana sehingga kini, pihaknya menerima kira-kira 3,000 permohonan untuk menjadi pelatih secara sukarela. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment