My Add

Saturday 5 May 2012

Melayu perlu pertahan UMNO: Ghani Othman

MUAR, SABTU, 05 Mei, 2012: Ahli UMNO dan orang Melayu digesa supaya mempertahankan parti itu yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional daripada cubaan parti pembangkang untuk melumpuhkannya menjelang pilihan raya umum akan datang. 

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, menegaskan mereka tidak ada pilihan lain kerana parti tersebut itu sudah banyak berjasa kepada orang Melayu di negeri itu.

"Jangan sekali-kali memberi peluang kepada mana-mana parti pembangkang yang cuba melumpuhkan parti orang Melayu ini," katanya semasa program Larian Bendera UMNO sempena ulang tahun ke-66 parti itu di sempadan Melaka-Johor di Kesang hari ini.

Kira-kira 3,000 orang hadir di majlis itu yang turut dihadiri wakil-wakil rakyat negeri Johor dan Melaka. 

Pada majlis itu, Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor menyerahkan bendera UMNO kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang kemudian menyerahkannya kepada Pergerakan Pemuda UMNO negeri Melaka untuk meneruskan program larian tersebut hingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober depan. 

Abdul Ghani berkata, UMNO perlu dipertahankan kerana parti itulah yang menpertahankan institusi Raja-Raja Melayu, meninggikan syiar Islam secara berterusan, memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperjuangkan ekonomi orang Melayu. 

Katanya, pembangkang berusaha melumpuhkan UMNO kerana sedar bahawa UMNO adalah benteng yang kukuh terutama di Johor dan Melaka yang menjadi kekuatan kepada BN yang memerintah negara. 

Sehubungan itu, beliau mengajak ahli parti membuktikan bahawa UMNO masih kukuh dan bersedia bertindak jika ada parti lain cuba mengganggu-gugat keutuhan parti itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment