My Add

Friday 11 May 2012

MKD tapis pengurusan tertinggi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bakal melakukan tapisan ke atas individu yang telah atau akan dilantik menjadi pengerusi, ahli lembaga pengarah serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat terbabit bagi membendung persepsi rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan juga melalui syarikat milik kerajaan (GLC) telah meningkatkan usaha untuk memastikan sebarang kelemahan dalam tadbir urus dikenal pasti dan ditangani bagi mengelakkan amalan rasuah.

''Langkah-langkah yang telah diambil termasuklah mengukuhkan fungsi Jawatankuasa Audit di peringkat Lembaga Pengarah bagi memastikan mereka dan pihak pengurusan hanya terdiri daripada individu yang berintegriti dan berkaliber.

''Penguatkuasaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga turut membantu usaha kerajaan untuk memerangi rasuah dalam sektor korporat," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor mengenai langkah-langkah kerajaan bagi membendung persepsi rasuah yang semakin berleluasa di dalam GLC serta sama ada kerajaan mempunyai rancangan mewujudkan peraturan supaya CEO dan pengarah urusan mengisytiharkan aset mereka.

Mohamad Nazri turut memberitahu, sehingga 13 April 2012, beberapa GLC telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai komitmen kepada kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam sebarang amalan perniagaan, sekali gus memerangi amalan rasuah.

''Antara syarikat GLC yang telah melaksanakan program ikrar tersebut ialah Lembaga Tabung Haji, Malayan Banking Bhd., Bank Islam Malaysia Berhad, Sime Darby Bhd., Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, pengisytiharan harta oleh CEO atau pengarah urusan syarikat MKD dilakukan semasa pertama kali menerima tawaran dan pada awal bulan Januari pada setiap tahun perkhidmatan seperti yang ditetapkan dalam terma serta syarat pelantikan.

''Sebarang ketetapan untuk mengisytiharkan kepentingan peribadi oleh CEO dan presiden adalah tertakluk kepada keputusan syarikat masing-masing yang mempunyai struktur tadbir urus serta kawalan dalaman tersendiri.

''Memandangkan kebanyakan GLC adalah syarikat tersenarai, ia juga tertakluk kepada kod tadbir urus korporat yang mengawal selia syarikat," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment