My Add

Wednesday 16 May 2012

Najib sampai di New York


*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut pegawai rasmi kerajaan sebaik tiba di Lapangan Terbang Westchester County, New York, hari ini, dengan pesawat khas selepas melakukan lawatan kerja dua hari ke United Kingdom. - Foto BERNAMA

NEW YORK, RABU, 16 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerja yang bertujuan mengukuh dan memperluas hubungan dengan negara ekonomi terbesar dunia Amerika Syarikat.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Westchester County di sini dengan pesawat khas pada 1.00 pagi (1.00 tengah hari Rabu waktu Malaysia).

Ketibaan mereka disambut Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim.

Najib Razak, berlepas malam tadi dari lapangan terbang Farnborogh, malam tadi
setelah berada di United Kingdom untuk lawatan kerja dua hari.

*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sesuatu dengan Putera Charles ketika menghadiri resepsi yang dihoskan Putera Charles sempena penganugerahan Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di St. James's Palace, London, hari ini. - Foto BERNAMA

Kira-kira tiga jam sebelum berlepas, Najib menghadiri resepsi yang dihoskan Putera Charles bersempena dengan penganugerahan Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS).

Antara tetamu dari Malaysia ialah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah yang juga pemegang amanah OCIS, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid juga sebagai pemegang amanah, Datuk Dr Afifi Alkiti yang juga felo di pusat itu dan Tuanku Raja Zarith Sofiah Al-Marhum Sultan Idris Shah. 

Perdana Menteri juga adalah anggota majlis tertinggi manakala Putera Charles adalah penaungnya. 

Carter diraja itu dianugerahkan pemerintah atas nasihat Dewan Penasihat. Amalan itu dilakukan sejak abad ke-13. 

Kini ia biasanya diberikan kepada badan-badan yang bekerja demi kepentingan awam dan yang dapat menunjukkan keunggulan, kestabilan dan rekod pencapaian yang kukuh dalam bidang masing-masing. Universiti Oxford, dan banyak kolej Oxford, sama diperbadankan.

Penganugerahan Carter diraja kepada OCIS adalah signifikan kerana ia menandakan buat kali pertama sebuah institusi Islam di United Kingdom (UK) dianugerahkan status yang berprestij sejak Carter sedemikian diberikan oleh pemerintah berturut-turut mulai 1231. 

Najib berkata, Malaysia sudah memberi banyak sumbangan dari segi kewangan dan material kepada pusat tersebut. 

“Kita percaya kita perlu memaparkan imej Islam yang sebenarnya dan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan moden serta menjaga hak bukan Islam dan ia satu model yang sangat baik untuk kita paparkan. Pusat Oxford membenarkan kita melakukan perkara yang sedemikian," katanya kepada media Malaysia.  

Najib yang dijemput oleh Putera Charles untuk menghadiri majlis itu menganggap undangan itu sebagai satu pengiftirafan dan penghormatan kepada Malaysia. \ 

Pusat Pengajian Islam Oxford adalah pusat bebas Universiti Oxford yang diiktiraf. Ia ditubuhkan pada 1985 bagi menggalakkan penyelidikan, pengajaran dan penerbitan bagi memahami budaya dan tamadun Islam dan masyarakat Islam kontemporari. 

Felo bagi pusat itu mengajar di beberapa fakulti di universiti itu dan felo pelawatnya dan program biasiswanya menarik cendekiawan dari 50 negara ke Oxford. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment