My Add

Monday 7 May 2012

Nik Aziz jawab Najib: ‘Kerajaan BN sah?

*BATUK Nik Abdul Aziz 
FAKHRURRAZI USULDIN 

SHAH ALAM, AHAD, 06 Mei, 2012: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan perhimpunan Bersih 3.0 satu cubaan untuk menggulingkan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di bandar I-City di sini malam, semalam, lapor Sinar Harian.

“Bila timbul persoalan Bersih yang disebut oleh ketua kerajaan yang pergi Kelantan itu, bahawa Bersih ini nak guling kerajaan yang sah, sah sungguh Kerajaan (Pusat) ini?” soal beliau ketika menyampaikan ucapan dalam majlis itu.

Nik Aziz menjelaskan tindakan mengadakan perhimpunan 28 April lalu bukan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menuntut sistem pilihan raya yang telus dan adil.

Beliau yang sebelum ini menggalakkan penyertaan dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan turut mengakui membiaya beberapa peserta menggunakan wang sendiri berkata, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam 12 pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, Nik Aziz juga menyentuh soal pengundi hantu dan daftar pemilih, yang turut dipertikaikan oleh pembangkang.

“Datuk Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebut berkali-kali kekalahan kerajaan Pas Terengganu pada pilihan raya dulu (2004) kerana dibawa masuk pengundi luar…

“Bila pengundi luar dimasuk dalam pilihan raya masa itu, adakah itu sah? Di dunia sah tapi di akhirat masuk neraka,” katanya.

Pada majlis sama turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Majlis anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan untuk mengutip dana bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment