My Add

Monday 7 May 2012

Perhimpunan tidak dihalang asalkan patuh undang-undang

ROMPIN, AHAD, 06 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk mengadakan perhimpunan asalkan ianya mematuhi undang-undang negara.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan demokrasi terbuka dan semua pihak mempunyai hak berlandaskan undang-undang sedia ada.

"Kalau nak buat (perhimpunan) secara aman kita terima, kita tak tolak, kita sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi terbuka...semua ada hak, termasuk pembangkang selagi mereka menghormati undang-undang negara.

"Tetapi kalau nak buat, buatlah secara aman, macam orang yang bertamadun, jangan terkinja-kinja, melompat-lompat macam orang hilang pedoman," katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Rompin yang dihadiri kira-kira 10,000 orang sekalipun hujan lebat, di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Merujuk perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas yang mencetuskan keadaan huru-hara, Najib berkata beliau terkilan dengan sikap sesetengah peserta perhimpunan itu yang bukan sahaja tidak menghormati undang-undang malah ingkar dengan arahan dan menyerang pihak polis.

Katanya tindakan itu sebenarnya bertujuan mahu menarik perhatian pihak media asing untuk menunjukkan pihak polis telah bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan.

"Kita suruh mereka buat di stadium, tapi apa yang berlaku mereka cuba mengheret peserta yang terlibat ke jalanan. Mungkin mereka rasa tak seronok sebab jika duduk diam di kerusi stadium berita tak keluar di media asing seperti di Al-Jazeera, CNN dan BBC," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata BN akan terus menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta membawa perubahan terutama di kawasan luar bandar termasuk masyarakat peneroka.

"Sehari dua lagi kita akan buat pengumuman "durian runtuh" (sempena penyenaraian Felda Gloal Ventures Holding (FGVH)) untuk warga Felda yang sedikit sebanyak akan menggemparkan dan memberi impak kepada peneroka Felda.

"Tapi kita bukan jaga peneroka sahaja, kita juga akan cuba tambah peruntukan untuk masyarakat di kampung-kampung lama dan kampung-kampung tradisional supaya rakyat terus maju ke depan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment