My Add

Monday 21 May 2012

Peneroka Tenggaroh 1 teruja tunggu 'durian runtuh' hari ini

*SAIMIN Tarikat dan isteri, Painah Sain menunjukkan geran rumah dan tanah yang kini menjadi milik mereka serta turut menyatakan rasa teruja mereka untuk menerima durian runtuh di Felda Tenggaroh 1, Mersing, semalam.

MERSING, AHAD, 20 Mei, 2012: Kira-kira 370 peneroka Felda Tenggaroh 1 teruja menanti terbitnya matahari esok apabila bakal menerima 'durian runtuh' pada majlis penyerahan di dewan serbaguna tanah rancangan tersebut.

Rata-rata tidak sabar untuk mengambil cek fasa pertama dan memasang niat untuk menyimpan atau digunakan untuk tujuan seperti membaiki rumah.

Ketua Peneroka Felda Tenggaroh 1, Saimin Tarikat, 58, berkata, peneroka di tanah rancangan itu teruja dan gembira apabila diberitahu akan menerima cek tersebut, esok.

"Pengagihan cek fasa pertama tersebut melibatkan lebih 300 peneroka. Malah ia akan diberikan kepada Felda Tenggaroh 1 hingga 7. Saya dan keluarga sangat bersyukur dengan pemberian itu kerana ia merupakan penghargaan daripada kerajaan kepada peneroka," katanya.

"Saya sendiri rasa sangat teruja untuk menerima cek berkenaan. Saya akan simpan wang itu untuk kegunaan ketika kecemasan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mei lalu mengumumkan mengenai durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka termasuk saham berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Najib berkata, pemberian itu melibatkan tiga fasa iaitu pertama, setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta.

Bagi pemberian fasa kedua, RM5,000 lagi akan diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut manakala fasa ketiga, juga sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada generasi kedua Felda.

Sementara itu, isteri peneroka, Zalia Abdul Karim, 49, berkata, biarpun hanya akan menerima cek durian runtuh pada fasa kedua, dia tetap gembira dengan pemberian tersebut yang akan digunakan untuk membaiki rumah dan disimpan untuk kegunaan waktu terdesak.

"Saya mengikut suami dan menetap di Felda Tenggaroh 1 pada 1989. Saya tidak pernah menyesal menjadi peneroka dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu," katanya.

Bagi salah seorang generasi kedua Felda, Norazwa Sidik, 22, durian runtuh itu merupakan khabar gembira bagi dia dan suami yang juga merupakan generasi kedua Felda.

"Saya gembira dan bersyukur atas rezeki yang diterima. Wang berkenaan akan saya simpan untuk kegunaan persekolahan dua anak saya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment