My Add

Saturday, 19 May 2012

Urus sampah tak sempurna punca denggi tinggi di Selangor

SEPANG, SABTU, 19 Mei, 2012: Pengurusan jadual kutipan sampah yang tidak sempurna antara faktor menyebabkan Selangor menjadi negeri penyumbang tertinggi dalam kes demam denggi. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sehingga semalam sebanyak 9,500 kes dicatatkan dengan 20 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 7,850 dengan 12 kematian.

"Lima puluh peratus daripada kes demam denggi yang dilaporkan tahun ini ialah di Selangor dan salah satu faktornya kerana sampah tidak dikutip dalam masa yang ditetapkan atau dijadualkan.

"Kalau dikutip dalam tempoh dua atau tiga hari tidak mengapa tetapi jika sampah sarap dibiarkan seminggu, aedes akan membiak dengan cepat kerana sesudu air pun sudah cukup untuk menjadi tempat pembiakan aedes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival 'Sihat Cergas Ceria' di sini hari ini. 

Liow berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan jadual kutipan sampah yang berkala kerana PBT juga perlu memainkan peranan penting menjaga kebersihan persekitaran. 

"Apatah lagi memandangkan negeri itu mempunyai kawasan perumahan luas terutamanya di kawasan bandar dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi," katanya. 

Sementara itu, Liow berkata kajian mengenai vaksin denggi sudah berada di peringkat akhir iaitu pada tahap ketiga dan dijangka boleh mula digunakan menjelang 2014.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan memperbanyakkan lagi kempen saringan kesihatan untuk mengalakkan serta meningkatkan kesedaran orang ramai bagi pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD). 

Katanya, hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu mendapati kira-kira 1.4 juta rakyat dewasa tidak mengetahui mereka mempunyai tahap gula tinggi. 

Sementara itu, katanya, 3.5 juta lagi tidak tahu mereka mempunyai tekanan darah tinggi manakala 4.7 juta tidak mengetahui mereka mempunyai kolestrol tinggi. 

NCD seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini adalah ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment