My Add

Tuesday, 8 May 2012

Peruntukan RM5 juta


*RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua, kanan) memerhatikan kerja-kerja membina laluan pejalan kaki berbumbung semasa lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Choong Wen, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memperuntukan kira-kira RM5 juta tahun ini bagi menaik taraf pelbagai infrastruktur jalan raya awam di sekitar ibu kota.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menurap jalan-jalan yang rosak dan berlubang, selain sistem perparitan bagi kemudahan dan keselesaan warga kota.

"Terdapat tiga kawasan di ibu kota yang akan dibaikpulih dan kini sedang berada dalam proses tender.

"Tiga kawasan tersebut ialah Wangsa Maju, Segambut dan Lembah Pantai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Wen, di sini hari ini.

Menurutnya, RM750,000 daripada RM5 juta itu diperuntukkan bagi menaiktaraf laluan pejalan kaki, longkang dan jalan di sekitar SKJ(Cina) Choong Wen.

"Kerja-kerja menaiktaraf di kawasan ini telah bermula pada 8 Februari lalu dan telah siap 9 April lalu.

"Tujuan kerja-kerja menaiktaraf di kawasan ini antara lain memberi keselesaan kepada murid-murid sekolah dan mengurangkan kesesakan lalu-lintas," ujarnya.

Jelasnya, antara skop kerja yang dilakukan di kawasan tersebut ialah membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 200 meter, menaiktaraf sistem peparitan sepanjang 750 meter dan menurap semula Jalan 3/114 Off Jalan Kuchai Lama serta jalan masuk dari arah Jalan Klang Lama.

"Selain itu, tempat letak kenderaan turut dibina bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka sesuka hati.

"Tindakan mereka itu menyukarkan pelajar di sekolah ini untuk keluar masuk ke sekolah, namun dengan adanya tempat letak kenderaan yang baru ini masalah tersebut dapat diselesaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment