My Add

Friday 11 May 2012

Polis tahan 2 perompak lari dengan lori

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Polis berjaya menahan dua perompak selepas mengejar mereka sejauh lapan kilometer di Taman Mutiara Rini di sini pada 3.30 petang semalam. 

Lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 34 tahun dan dalam keadaan khayal, melarikan diri dengan menggunakan lori satu tan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Nusa Bestari.

Ketua polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik rumah dan memaklumkan kepada semua kereta peronda sejurus kemudian.

"Dalam masa setengah jam, sebuah kereta peronda berjaya mengesan lori itu di Jalan Bakti, Taman Mutiara Rini dan mengejarnya," katanya di sini hari ini. 

Polis menemui sebuah televisyen LCD, sebuah alat menghisap dadah, sebuah komputer riba, parang, pisau pemotong daging, pemotong wayar dan besi tuil. 

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memecah masuk sebuah rumah lain sebelum cuba memecah masuk ke rumah tersebut," katanya sambil menambah suspek didapati positif heroin. 

Noor Hashim berkata, pihaknya percaya suspek adalah kumpulan perompak yang mula aktif di kawasan Nusajaya semenjak empat bulan lalu dan ada sembilan kes yang dipercayai ada kaitan dengan mereka. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment