My Add

Sunday 6 May 2012

Rakyat Malaysia digesa peluk erat setiap perbezaan


*NAJIB bertemu dengan orang ramai yang hadir pada sambutan Hari Wesak di Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, SABTU, 05 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia memeluk erat setiap perbezaan yang terbentuk dalam sebuah negara pelbagai kaum dan bukan lagi hanya sekadar bertoleransi.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan perbezaan itu dapat dipeluk dengan erat, rakyat negara ini mesti terikat dengan nilai-nilai positif dalam setiap agama yang dianuti, agar semangat perpaduan dapat dijalin atas dasar keikhlasan.

Katanya, langkah itu akan membolehkan rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian mengecap nikmat keharmonian sejati dan ia bertepatan dengan konsep 1Malaysia, yang mula diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

"Kita tidak mahu situasi di mana orang akan berfikir seperti ini, saya perlu atau terpaksa bertolak ansur dengan kamu kerana saya tidak boleh bertindak ke atas kamu, tetapi jauh di dalam hati wujud perasaan tidak ikhlas.

"Kita mahukan keharmonian sejati yang lahir daripada hati, kita perlu memeluk erat perbezaan antara dan tidak hanya sekadar bertoleransi," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Wesak di Kuil Sri Mihara di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi mengulangi ketegasan bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau bukan sekadar retorik politik tetapi ia konsep yang akan menjadi amalan semua pihak di negara ini termasuk kerajaan.

Menyentuh mengenai Hari Wesak, Perdana Menteri berkata, kerajaan sejak 50 tahun lalu telah mengiktiraf sambutan keagamaan penganut Buddha itu apabila mewartakannya sebagai hari cuti umum.

Katanya, penganut Buddha adalah kumpulan masyarakat kedua terbesar di Malaysia dan mereka telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi serta sosial sejak sekian lama.

"Pengiktirafan kerajaan terhadap penganut agama Buddha sejak 50 tahun lepas membuktikan konsep 1Malaysia telah dipraktiskan sejak dahulu walaupun tanpa menyebutnya pada ketika itu," kata beliau.

No comments:

Post a Comment