My Add

Tuesday 8 May 2012

Rakyat Malaysia paling ramai melancong ke Jakarta

JAKARTA, SELASA, 08 Mei, 2012: Rakyat Malaysia paling ramai melancong ke Jakarta pada bulan Mac tetapi kebanyakan mereka datang hanya untuk membeli belah dan bukan bagi urusan perniagaan seperti pelawat dari negara lain.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, dalam laporannya hari ini berkata daripada 172,126 orang pelancong yang ke Jakarta pada bulan Mac, 14.61 peratus adalah dari Malaysia, Jepun (9.84 peratus), China (9.8 peratus), Singapura (8.97 peratus), Korea Selatan (4.23 peratus) dan Australia (3.89 peratus).

Dengan memetik data daripada Agensi Perangkaan Jakarta, akhbar itu menyebut dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah kedatangan pelawat asing bertambah 12.37 peratus kepada 494,092 orang daripada 439,672 orang tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut laporan itu, pada bulan Mac jumlah pelancong meningkat 7.83 peratus berbanding bulan Feb hanya 159,598 pelawat asing berkunjung ke Jakarta.

Ketua perangkaan taburan pelancong di agensi berkenaan, Dody Rudyanto berkata pelancong asing tinggal di hotel-hotel di Jakarta purata selama 1.92 hari, bermakna mereka menghabiskan masa lebih dua hari ketika berada di kota raya ini.

"Kebanyakan pelancong asing datang ke Jakarta semata-mata untuk urusan perniagaan. Biasanya pelawat luar ini membanjiri Jakarta apabila ada peristiwa antarabangsa berlangsung, seperti konvensyen dan pameran," katanya.

Sementara itu Ketua agensi tersebut, Arief Budiman dipetik sebagai berkata bahawa selain menghadiri konvensyen dan mengunjungi pameran, pelawat luar itu juga pergi ke pasar raya, padang golf, pusat tumpuan warisan dan rekreasi.

Beliau berkata pelawat asing tersebut datang dari negara kawasan Asia Tenggara, China, Jepun, Korea Selatan dan juga Asia Barat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment