My Add

Wednesday 16 May 2012

Sokong atau bantah patuh undang-undang

 NAJIB dan Rosmah dikerumuni warga Malaysia pada program Sepetang Bersama Perdana Menteri, di 02 Arena,  timur London, malam kelmarin.
*NAJIB dan Rosmah dikerumuni warga Malaysia pada program Sepetang Bersama Perdana Menteri, di 02 Arena, timur London, malam kelmarin.

Daripada Zaharah Othman
LONDON, SLASA, 15 Mei, 2012: Rakyat mempunyai hak menyokong atau membangkang kerajaan tetapi perlu mengikut undang-undang kerana sikap tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang boleh mencetuskan huru-hara di dalam negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau boleh menghargai perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi tidak akan menghormatinya jika pihak tertentu melanggar undang-undang yang menjadi satu-satunya perlindungan untuk masa depan Malaysia.

Katanya, dalam mana-mana demokrasi akan ada golongan mengundi untuk menyokong dan yang menentang (kerajaan), namun paling utama pada akhirnya adalah pilihan rakyat.

“Kita tidak memerlukan demonstrasi jalanan di Malaysia kerana jika dilakukan, tidak dapat tidak, akan timbul masalah dan berlaku pertelagahan. Mengapa anda tidak boleh berhimpun secara aman? Kita percaya kepada demokrasi tetapi demokrasi dengan tanggungjawab. 

“Anda boleh ada kebebasan individu tetapi mestilah tidak menjejaskan kepentingan majoriti,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang menghadiri program Sepetang Bersama Perdana Menteri, di 02 Arena di timur London, malam kelmarin. 

Selepas ucapan dalam suasana santai itu, warga Malaysia di United Kingdom, termasuk pekerja, keluarga serta pelajar, berpusu-pusu untuk beramah mesra dan bersalaman dengan Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor. 

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong yang menganjurkan majlis itu dan isterinya, Datin Seri Hazizah Ahmad. 
Najib juga menyatakan rasa bangga dan gembira dengan kehadiran ramai rakyat Malaysia pada majlis itu yang menurutnya jelas mencerminkan gagasan 1Malaysia. Malah, beliau amat terharu dengan kesanggupan mereka mengharungi perjalanan jauh untuk bersamanya dan Rosmah. 

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan sedang mengusahakan yang terbaik untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020. 

Katanya, kini adalah detik penting dalam sejarah negara kerana ini kali pertama transformasi dilakukan secara besar-besaran yang bukan hanya dari segi ekonomi, malah sosial dan politik. 

Beliau berkata, Malaysia kini menjadi negara berpendapatan sederhana dan memiliki pelbagai infrastruktur terbaik, berbanding suatu ketika dulu sebagai negara tidak dikenali, berasaskan pertanian dan agak miskin. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment