My Add

Tuesday 8 May 2012

Unit khas nilai kualiti rangkaian telefon selular

CYBERJAYA, SELASA, 08 Mei, 2012: Satu unit bertindak khas untuk menilai kualiti rangkaian perkhidmatan telekomunikasi selular akan diwujudkan segera bagi memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan mereka di seluruh negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata unit yang diwujudkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu akan turut dianggotai wakil daripada kelima-lima syarikat telekomunikasi utama di negara ini iaitu Celcom, Maxis, Digi, UMobile dan YTL.

"Berdasarkan sesi penilaian yang dibuat hari ini kami dapat melihat secara langsung tahap isyarat selular kawasan yang dikategorikan sebagai kuat, lemah dan di mana ada petak panggilan tergendala.

"Semua ini didaftarkan di dalam mekanisme penentuan isyarat dan kami (SKMM) akan membuat kesimpulan, misalnya dari Kuala Lumpur ke Putrajaya di mana tempat yang seharusnya diperbaiki sistem isyarat oleh syarikat telekomunikasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi pandu uji penilaian kualiti rangkaian selular itu yang berakhir di Cyberjaya, hari ini.

Pandu uji penilaian kualiti rangkaian selular itu dilaksanakan menggunakan bas yang dilengkapi dengan alat-alat pemantauan liputan yang juga akan membuat pemetaan bagi menunjukkan tahap capaian isyarat sesuatu perkhidmatan di kawasan-kawasan tertentu.

Perjalanan dimulakan dari Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur menuju ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya melalui Maju Expressway sebelum pulang melalui Lebuhraya Sungai Besi ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

Rais berkata dengan adanya lebih 10,000 menara isyarat telekomunikasi sedia ada di seluruh negara dan kira-kira 150 lagi menara yang akan siap dibina tidak lama lagi, kementerian komited untuk memastikan tiada gangguan panggilan kecuali semasa berlakunya bencana alam yang tidak dapat dielakkan.

"Apa yang dibuat hari ini juga akan membantu transformasi ekonomi di tanah air kerana apabila komunikasi mudah, maka perniagaan atau perhubungan juga akan bersifat lebih mudah," katanya.

Rais berkata pemantauan terhadap kualiti isyarat rangkaian selular itu akan diperluaskan ke peringkat negeri dan akan dilaksanakan secara mingguan sebelum laporan bulanan dibentangkan kepada jemaah menteri.

"Selepas ini SKMM akan mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi yang kualiti isyaratnya rendah untuk memperbaiki perkhidmatan mereka, jadi tidak ada pihak yang boleh mengelak diri dalam tanggungjawab ini kerana semuanya ditunjukkan melalui pemetaan yang dijalankan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment