KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memanipulasi pasaran saham di Bursa Malaysia Sekuriti Bhd. melalui 42 akaun sistem depositori pusat, lapan tahun lalu.
Datuk Goh Hock Choy, 50, didakwa mewujudkan keadaan mengelirukan berhubung saham sebuah syarikat pembuatan perabot, Lii Hen Industries Bhd. di Bursa Malaysia Sekuriti Bhd., Tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini antara 26 Mac 2004 dan 28 Oktober 2004.
Rakan tertuduh, Siow Chung Peng, 42, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Hock Choy untuk melakukan perbuatan tersebut.
Hock Choy yang pernah bertugas sebagai remisier didakwa secara tidak langsung mempunyai kaitan terhadap transaksi penjualan dan pembelian saham syarikat berkenaan yang tidak melibatkan sebarang pertukaran dalam saham syarikat itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment