My Add

Tuesday 4 September 2012

APEC buka peluang perniagaan untuk Malaysia di Rusia

VLADIVOSTOK, Rusia, 03 September, 2012: Sidang Kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (APEC) di sini pada hujung minggu ini diharapkan akan membuka peluang kepada syarikat Malaysia mewujudkan usaha sama dengan syarikat Rusia di kawasan Timur Jauh negara ini.

"Kehadiran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada sidang kemuncak tersebut akan memberi peluang kepada ahli-ahli perniagaan Malaysia mencari peluang dalam pasaran baru di rantau Rusia sebelah sini.

"Pada tahun lepas, perdagangan Malaysia-Rusia hanya berjumlah AS$1 bilion (RM3.12 bilion) dan hanya meliputi sektor minyak dan gas, serta kayu balak.

"Kawasan Timur Jauh Rusia sedang membangun dan memerlukan lebih banyak pembinaan dan pemodenan prasarana asas seperti jalan raya. Ini membuka peluang kepada usaha sama syarikat Malaysia dengan Rusia," kata Duta Malaysia di Rusia, Datuk Zainol Abidin Omar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar untuk wartawan-wartawan Malaysia sempena Sidang Kemuncak APEC di Pulau Russky dekat sini.

Katanya, Rusia baru sahaja diterima menjadi ahli baru Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada bulan lepas dan ini berita baik kepada Malaysia yang sudah lama menjadi ahli WTO.

"Sebagai ahli WTO, Rusia perlu patuh kepada peraturan-peraturan badan dunia itu, dan tentunya ini akan menguntungkan Malaysia ketika syarikat-syarikat kita mencari peluang perniagaan baru di sini," tambah beliau.

Selain sektor pembinaan, Malaysia dan Rusia juga berminat untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam sektor pendidikan dan pelancongan.

Kini terdapat kira-kira 3,000 pelajar Malaysia di Rusia bagi menyambung pelajaran dalam bidang perubatan, aeroangkasa dan aeronautik serta kejuruteraan marin, jelasnya.

Dalam pada itu, kian banyak rakyat Rusia bercuti di Malaysia memandangkan rakyat negara ini tidak memerlukan visa untuk melancong jika berada di Malaysia kurang daripada 30 hari, kata beliau lagi.

Mengulas lanjut kehadiran Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak APEC yang lebih dikenali sebagai Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC, Zainol Abidin berkata, sejumlah enam pertemuan bilateral (dua hala) bakal diaturkan pada sidang tersebut.

"Perdana Menteri mungkin akan mengadakan enam pertemuan bilateral. Ini termasuk dua delegasi dari Amerika iaitu Setiausaha Negara, Hillary Clinton dan ahli-ahli perniagaan.

"Selain itu, pertemuan dua hala juga diaturkan dengan Rusia, New Zealand, Mexico dan Australia," tambah beliau.

Perdana Menteri akan tiba di sini pada 7 September untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC pada 8-9 September ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment