My Add

Wednesday 5 September 2012

Eksport komoditi melebihi RM148b

KOTA BHARU, SELASA, 04 September, 2012: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) menjangka negara dapat mengekalkan jumlah eksport komoditi melebihi RM148 bilion tahun ini, sebagaimana dicatatkan pada 2011.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, ketika ini pasaran global komoditi sedikit menjunam disebabkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Beliau berkata, pada masa sama pihak kementerian sentiasa menjalankan kajian untuk meningkatkan hasil komoditi tembakau yang ketika ini mencatatkan nilai eksport lebih RM1 bilion pada tahun lalu.

"Kementerian hendak melihat ada peningkatan dari segi pendapatan eksport kerana bila ada peningkatan eksport negara melalui komoditi, ia akan memberi keuntungan yang besar untuk industri dan ini boleh membantu ekonomi negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Kelengkapan Permulaan Pendidikan Tinggi (HESK), Sumbangan Wang Ihsan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini.

Pada majlis itu, Hamzah menyampaikan bantuan HESK berjumlah hampir RM100,000 kepada anak-anak warga industri di bawah kementerian yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan wang ihsan sebanyak RM167,400 kepada 837 penanam yang mengalami kerugian akibat banjir awal tahun ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman; Gabenor Yayasan British American Tobacco Malaysia (BATM), Christine Lee Oi Kuan; Ketua UMNO Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Ketua Pemuda UMNO Bachok, Datuk Muhammad Zaidi Sidek.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihak kementerian juga sedang menumpukan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi meningkatkan pengeluaran dan nilai eskport komoditi negara seperti disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pihak kementerian juga sedang berbincang dengan pemain industri bagi menjayakan hasrat tersebut.

"Justeru, kita minta rakyat sedar bahawa ini merupakan tanggungjawab bersama dan tanpa sokongan dan dokongan rakyat maka cita-cita dan program hanya tinggal cita-cita dan program," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment