Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU, ISNIN, 03 September, 2012: Empat kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis dilaporkan di negeri ini dengan tiga daripada mangsa telah meninggal dunia sepanjang tahun ini.
Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia disahkan akibat jangkitan sisa haiwan.
Menurut beliau, daripada empat kes tersebut dua dilaporkan di Pasir Puteh manakala masing-masing satu di Tanah Merah dan Pasir Mas.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar membersihkan diri sekiranya mereka terdedah kepada sumber air yang kotor.
"Penyakit ini boleh menyebabkan kemudaratan yang sangat teruk melalui jangkitan yang diperolehi terutama selepas kita bersentuhan dengan sisa haiwan itu.
"Paling biasa berlaku adalah sungai atau air bertakung yang dicemari dengan kencing tikus dan selepas bersentuhan kita pula tidak basuh atau membersihkan diri," katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Perdana HRPZII di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment