My Add

Monday, 3 September 2012

Istana persoal Kerajaan Negeri jemput Anwar


*ANWAR ketika hadir sebagai tetamu kehormat pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Selangor, Khamis lalu.

RUWAIDA MD ZAIN

SHAH ALAM, ISNIN, 03 September, 2012: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempersoalkan Kerajaan Negeri menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat dan memberikan ucapan pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri, Khamis lalu.

 Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani. berkata, ia menimbulkan tanda tanya kepada Tuanku memandangkan program tersebut adalah program rasmi Kerajaan Negeri.

“Tuanku Sultan melahirkan rasa pelik, mengapa dalam program sedemikian, Anwar, yang tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri menjadi tetamu kehormat. Ketua Umum PKR itu juga tidak memegang sebarang portfolio rasmi, kecuali sebagai Penasihat Ekonomi Negeri yang dilantik.

“Kebiasaannya, kalau Tuanku tidak dapat hadir dalam program rasmi Kerajaan Negeri, Menteri Besar ganti tempat baginda untuk beri ucapan dan sebagainya. Tetapi, mengapa Anwar dijemput dan berucap kali ini, sedang ini program rasmi, bukan program politik?” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Munir, pada Khamis lalu, dilaporkan memberitahu, Sultan Selangor tidak dimaklum untuk mencemar duli turut merayakan sambutan kemerdekaan peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini.

Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya dijemput berangkat ke majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kelmarin.

Menurut Mohamad Munir sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri perlu memaklumkan kepada Sultan Sharafuddin selaku ketua negeri sebarang program atau majlis rasmi seperti kebiasaannya.

Katanya, kehadiran Anwar pada program tersebut juga dibimbangi akan menimbulkanKpelbagai persepsi tidak baik dalam kalangan rakyat.

"Mungkin rakyat tertanya-tanya, mengapa program rasmi sebegitu, Sultan tidak hadir, sebalik Anwar yang menjadi tetamu kehormat dan tampil berucap di pentas," katanya.

Sementara itu, pada program berasingan di Galeri Shah Alam di sini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditanya berhubung isu tersebut, menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk memberi penjelasan.

Beliau berkata, sejak 2007 program merayakan ambang kemerdekaan bukan melalui Pejabat Menteri Besar tetapi melalui Pejabat SUK.

Katanya, terdapat satu jawatankuasa khas dari Pejabat SUK di mana Pejabat Menteri Besar diwakili pegawai kerajaan dalam perbincangan bagi menyempurnakan program tersebut.

“Saya tidak sangsi bahawa mereka buat perkara ini dengan betul dan tertib. Ini bukan penglibatan politik tetapi sambutan ambang kemerdekaan ini dibuat pegawai kerajaan yang melaksanakannya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya sudah merayakan kemerdekaan masuk kali keempat, dan semuanya dilakukan pejabat SUK. Saya tidak nampak ada perbezaan yang berlaku. Saya ingat penjelasan terbaik boleh dibuat Datuk SUK,” katanya.

Abdul Khalid berkata, penjelasan dan makluman mengenai apa juga perancangan atau program Kerajaan Negeri sentiasa dimaklumkan kepada Sultan Sharafuddin dalam pertemuan mereka pada setiap Rabu.

No comments:

Post a Comment