My Add

Wednesday 12 September 2012

Hasihin ingin jadi pemanah paralimpik nombor satu dunia


Dua atlit paralimpik negara
terima elaun sama seperti atlit normal

SEPANG, RABU, 12 September, 2012: Pemanah paralimpik negara, Hasihin Sanawi berhajat menjadi pemanah nombor satu dunia dalam masa empat tahun sebelum beraksi sekali lagi di temasya Sukan Paralimpik Rio di Brazil pada 2016.

Pemenang pingat perak pada temasya Sukan Paralimpik London bagi acara recurve individu lelaki kategori kecacatan W1/W2 (berkerusi roda) itu berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-20 kepada tempat keempat terbaik dunia.

Hasihin, 27, yang pertama kali menyertai sukan paralimpik berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan impiannya dicapai suatu hari nanti.

"Saya harap mampu membawa pulang pingat emas apabila beraksi di Rio de Janeiro nanti," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau berkata, sekiranya diberi pilihan untuk mendapat hadiah daripada kerajaan, beliau berhajat untuk memiliki rumah sendiri.

Hasihin berkata, kata-kata semangat yang diberikan pemanah elit negara Allahyarham Mohd Salam Sidik banyak membakar semangatnya untuk memenangi pingat di London.

Mohd Salam meninggal dunia tahun lalu akibat sakit jantung.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa bagi acara lontar peluru lelaki F20, Muhamad Ziyad Zolkefli berkata, kejayaan di London memberi lebih semangat kepadanya untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh.

Muhamad Ziyad, 22 tahun, berkata beliau tidak sangka dapat melakukan lontaran sejauh 15.21 meter kerana ia adalah di luar kemampuan sebelum ini.

"Dalam masa empat tahun lagi untuk Paralimpik Rio 2016, saya yakin mampu tambah jarak lontaran sejauh 3 meter lagi dengan kekuatan yang diberikan Allah SWT," katanya.

Beliau yang pertama kali beraksi pada temasya Paralimpik tidak berani untuk menetapkan sasaran pingat untuk edisi Rio 2016, sebaliknya berjanji untuk melakukan lontaran terbaik.

Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menyatakan dua atlit paralimpik negara yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik London 2012 akan menerima elaun latihan bulanan seperti atlit normal.

Katanya, Hasihin Sanawi dari acara memanah dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) yang masing-masing meraih perak dan gangsa akan menerima elaun RM2,500 serta habuan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Di bawah Shakam, pemenang emas sukan paralimpik layak menerima RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000).

"Selain daripada elaun dan hadiah SHAKAM, mereka juga menerima beberapa kemudahan lain daripada pihak MSN termasuk kemudahan tempat tinggal, peralatan dan juga makan minum secara percuma," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berharap kejayaan yang dicapai oleh dua atlit itu akan menjadi inspirasi kepada atlit paralimpik lain.

"Saya juga harap kejayaan Hasihin dan Muhammad Ziyad juga dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mempunyai lebih keyakinan bagi memberi pededahan kepada anak mereka yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya lagi.

Pada Sukan Paralimpik 2008 di Bejing, Malaysia hanya memperoleh sebutir gangsa menerusi atlit wanita Siow Lee Chan dalam dalam acara powerlifting 56kg. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment